6 August 2008

MAJLIS EKONOMI DITUBUH - BADAN PENASIHAT BAGI MENANGANI MASALAH INFLASI, KELEMBAPAN EKONOMI - PM

PUTRAJAYA 5 Ogos – Kerajaan hari ini menubuhkan Majlis Ekonomi yang berperanan sebagai badan penasihat bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, majlis yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan dianggotai menteri-menteri ekonomi serta wakil-wakil sektor kerajaan dan swasta.

Menurut kenyataan itu, Majlis Ekonomi dengan keanggotaan 40 orang akan mengambil alih peranan Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi dan Majlis Membanteras Inflasi Negara yang menumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan isu-isu berhubung kenaikan harga barang.

Struktur dan modus operandi majlis itu akan dirangka untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap manakala keputusan-keputusannya dapat dirumuskan dengan cepat agar segera dilaksanakan.

Antara peranan Majlis Ekonomi adalah:

- Memantau dan menganalisis aliran dan perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa;

- Menggubal strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara;

- Mengenal pasti cara untuk mengawal keadaan inflasi dan merancang strategi memastikan pembekalan yang kukuh ekoran kenaikan harga minyak, komoditi dan makanan;

- Menilai semula kaedah atau sistem pemberian subsidi dan kawalan harga bagi mengurangkan gangguan dalam ekonomi;

- Merangka satu jaringan keselamatan sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak kenaikan kadar inflasi dan kelembapan ekonomi terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, ekonomi dunia telah sekian lama menikmati kadar pertumbuhan yang baik.

Namun, keadaan ekonomi semasa adalah lebih sukar dan tidak menentu berpunca daripada faktor-faktor seperti kenaikan harga komoditi makanan dan bahan api.

“Keadaan ini menuntut negara menyediakan dasar dan strategi khusus agar pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan sebagaimana yang disasarkan, inflasi adalah terkawal dan rakyat dapat terus menikmati kehidupan yang berkualiti terutama bagi golongan yang tidak berkemampuan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, kenyataan itu menjelaskan, Majlis Ekonomi akan menyediakan pendekatan bersepadu serta dasar-dasar yang telah dikenal pasti mampu menangani segala isu dan cabaran yang dihadapi.

Menurutnya, penubuhan majlis itu akan membantu kerajaan memperkemas dan menyelaraskan dasar-dasar dan prosedur sedia ada bagi merangsang pertumbuhan ekonomi bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan yang mungkin berlaku.

Sementara itu, di KUALA LIPIS, Abdullah berkata, pihak swasta mempunyai pelbagai kaedah untuk mengurangkan kos perkhidmatan atau harga produk mereka bagi membantu meringankan beban rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan projek Agropolitan Gahai, Lipis, dekat sini, beliau berkata, Majlis Ekonomi itu juga bagi melihat kemampuan pihak swasta untuk mengambil tindakan membantu kerajaan mengurangkan beban rakyat.

“Saya sebut dua contoh sebagai usaha memberi tambahan pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah dan petani seperti memberi benih dan pokok buah- buahan. Ini antara langkah yang diambil pihak swasta. Syarikat lain boleh membantu cara lain.

“Yang kedua ialah berkaitan bas untuk kenderaan awam. Sekarang minyak sudah naik, Keinginan untuk guna bas semakin meningkat dan tambang bas mungkin lebih murah lagi berbanding guna kereta.

“Misalnya, sebuah syarikat swasta beli bas dan serah kepada sebuah agensi di Johor. Mereka tolong ambil dua pemandu ambil satu bas, memberi perkhidmatan dan bantuan minyak, jadi rakyat akan dapat tambang percuma atau bayar sedikit sahaja,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, pemilik pusat beli-belah juga boleh membantu rakyat dengan mengurangkan kadar meletak kereta atau memberikannya secara percuma selain menurunkan sewa ruang niaga kepada peniaga kecil.

Menurut beliau, walaupun peranan pihak swasta itu dianggap kecil tetapi jika melibatkan banyak pihak, ia mampu memberi impak besar dalam mengurangkan beban rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri memberitahu, Majlis Ekonomi yang ditubuhkan semalam akan mengadakan perbincangan minggu depan.