30 October 2008

PUNCA MALAYSIAKINI SIAR BERITA PALSU NAJIB

Artikel berikut jelas menunjukkan penyalahgunaan kebebasan di media eletronik oleh Malaysiakini dan Steven Gan . Minta maaf sahaja tidak cukup. Kerajaan hendaklah mengambil langkah2 tertentu menentu kan media eletronik perlu bertanggong jawab . Jika ada sebarang penyalahgunaan atau kecuaian hendak diambil tindakan menggunakan undang2 termasuk di bawaghAkta Hasutan dan ISA. Jika tidak porak peranda jadinya negara kita ini.

Bashir Ahmad


STEVEN GAN, Ketua Pengarang Malaysiakini mempunyai sebab untuk gelisah dan malu apabila portal berita kendaliannya terpaksa memohon maaf kerana menyiarkan berita palsu mengenai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa Najib mengeluarkan manifesto untuk bertanding jawatan Presiden UMNO berikutan pengosongan jawatan tersebut oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dilaporkan kononnya isi kandungan manifesto palsu itu menonjolkan bahawa Najib adalah seorang rasis Melayu.

Walaupun meminta maaf, padah telah berlaku. Wartawan yang menulis berita palsu itu, Wong Choon Mei yang bertugas di Malaysiakini sejak tiga bulan lalu, telah meletakkan jawatan. Kononnya beliau menerima manifesto itu dari sumber luar, tapi disiarkan tanpa usul periksa.

Di mana Gan mahu menyorokkan mukanya kerana beliau selama ini sentiasa mempertahankan bahawa Malaysiakini sebuah media yang adil dan bertanggungjawab.

Adakah Gan, yang mempunyai cukup pengalaman sebagai wartawan media arus perdana ketika berkhidmat dengan The Star, melupai tanggungjawabnya kerana turut terperangkanp dalam keghairahan politik perkauman yang semakin marak di Malaysia sekarang. Dulu Gan meninggalkan dunia persuratkhabaran dengan alasan tiada kebebasan. Kini beliau sendiri yang membuktikan betapa kebebasan yang tidak dikawal boleh disalahgunakan

Umum boleh mengandaikan betapa jika Malaysiakini tergamak menyiarkan sebuah berita palsu mengenai Timbalan Perdana Menteri, maka ia tentulah boleh mengada-adakan cerita terhadap sesiapa sahaja. Gan tidak boleh menuduh mereka yang berandaian demikian sebagai tidak adil kerana Malaysiakini telah melakukan ketidakadilan dengan menyiarkan laporan palsu terhadap Timbalan Perdana Menteri yang implikasinya sangat buruk terhadap beliau dan UMNO dalam suasana politik tidak menentu dan kalut sekarang.

Penulis ini lebih cenderung untuk berpendapat bahawa sikap perkaumanlah yang menyebabkan Wong dan Gan menulis dan menyiarkan berita palsu itu. Sebagai wartawan berpengalaman, Gan tentulah amat arif bahawa setiap berita hendaklah dipastikan kesahihannya sebelum disiarkan. Apatah lagi jika implikasi berita berkenaan boleh menjejaskan seorang pemimpin seperti Timbalan Perdana Menteri yang juga `bakal Perdana Menteri.'

Namun Wong dan Gan, sebagai bukan Melayu telah berfikir atas premis perkauman apabila menerima maklumat kononnya Najib mengeluarkan manifesto untuk meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa beliau seorang pemimpin yang ultra-Malay. Tanpa menyiasat mereka telah membuat kesimpulan dengan begitu mudah sekalipun personaliti yang terlibat adalah seorang Timbalan Perdana Menteri.

Kesimpulan itu dibuat atas premis prejudis bahawa parti UMNO hanya memperjuangkan ketuanan Melayu dan para pemimpinnya juga adalah `tuan-tuan Melayu.' Maka apabila cerita mengenai manifesto Najib itu dihantar kepada Malaysikini, tanpa usul periksa mereka telah mempercayai bulat-bulat maklumat palsu yang mereka peroleh atas premis syak wasangka yang berasaskan sikap perkauman itu.

Inilah realiti keadaan di Malaysia yang menyukarkan kita untuk membendung masalah perkauman.

Sebab itulah wujud pelbagai akta yang antara lain memperuntukkan larangan tertentu berhubung isu perkauman, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri yang berupa undang-undang pencegahan.

Media arus perdana tradisional seperti akhbar dan TV amat memahami hakikat ini dan mereka sentiasa berwaspada, apatah lagi kerana mereka dikawal oleh undang-undang berkaitan. Undang-undang yang mengawal kebebasan inilah yang dulu menyebabkan Gan tidak selesa dan akhirnya keluar daripada dunia persuratkhabaran untuk menerokai dunia media maya atau internet.

Pada hari ini Malaysiakini mempunyai pembaca yang besar bilangannya, malah lebih besar daripada beberapa surat khabar. Maka amatlah tidak adil jika surat khabar mengamalkan etika kewartawanan, tetapi media baru yang berpengaruh seperti Malaysiakini boleh menyiarkan apa yang mereka suka.

Maka amat benarlah takrif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Abdul Hamid Albar bahawa portal-portal berita kini termasuk dalam kategori media arus perdana. Malah dalam masa beberapa tahun sahaja lagi banyak surat khabar pula yang tidak boleh dikategorikan lagi sebagai media arus perdana. Persoalannya adakah portal-portal berita boleh dibiarkan menikmati kebebasan berterusan tanpa batas? - malaysiaaktif.com

No comments: