9 October 2008

MUHAMMAD MUHD TAIB TAWAR TANDING TIMBALAN PRESIDEN UMNO


SHAH ALAM 9 Okt. - Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib hari ini menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac ini.

Beliau mengumumkan demikian pada sidang akhbar di ibu pejabat UMNO Selangor di sini hari ini. - Utusan

ABDULLAH : CALON TIMBALAN PRESIDEN UMNO MESTI BOLEH BEKERJASAMA DENGAN PRESIDEN BARU


KUALA LUMPUR 9 Okt. - Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi berkata, sesiapa sahaja boleh dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO tetapi dengan syarat individu itu boleh bekerjasama dengan Presiden baru yang bakal dipilih.

Abdullah yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian Kepala Batas berkata, beliau akan terus menyandang jawatan tersebut walaupun telah bersara.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan institut antarabangsa kajian tinggi Islam Malaysia (IAIS) di sini hari ini. - Utusan

ABDULLAH TIDAK PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN UMNO


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan akan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac tahun depan.

Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, Rabu.

Katanya beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perhimpunan agung Umno pada Mac nanti.

Secara tradisinya, Presiden Umno menjadi Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional.

Ini bermakna peralihan kuasa kepada Najib yang sebelum ini ditetapkan pada Jun 2010, akan diawalkan setahun.

Pada satu mesyuarat khas baru-baru ini, Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menangguhkan perhimpunan agung parti dari Disember ini ke Mac tahun depan bagi melincinkan proses peralihan kuasa itu.

Abdullah berkata sepanjang 46 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau sentiasa dipandu oleh hati nuraninya.

"Saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara.Dengan meletak perkara itu di dalam fikiran mendorong saya mengumumkan tidak akan bertanding Presiden UMNO. Saya tidak mahu melihat parti dan kerajaan campuran berpecah belah tetapi sesuatu yang bersatu dan harmoni.

"Barisan Nasional yang bersatupadu adalah penting bagi negara menghadapi cabaran global dan untuk Malaysia menjadi negara yang maju sepenuhnya, yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua," katanya.

Abdullah berkata ada beberapa inisiatif yang beliau mahu melihat ia dilaksanakan sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal penggantinya.

Katanya inisiatif-inisiatif itu adalah penting bagi membolehkan Malaysia mengharungi cabaran untuk terus melangkah maju dan juga diperlukan bagi memperbaiki daya saing negara.

Mengulas mengenai rancangannya sebelum meletak jawatan, Abdullah berkata beliau ingin melihat misinya diteruskan dan berharap penggantinya akan meneruskan agenda itu.

"Saya mahu menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada pengganti saya sebuah negara Malaysia yang mampu mengharungi cabaran ekonomi global, negara Malaysia yang tidak kaya dan tidak miskin, tidak mengira muda atau tua atau bandar atau kampung, bukan Utara dan Selatan dan bukan hanya sebuah agama atau lain-lain tetapi sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.

"Ini bukan masanya untuk bergaduh atau mempunyai pandangan politik sempit tetapi untuk kejayaan, perpaduan dan kerjasama," katanya.

Abdullah juga berjanji bahawa dalam tempoh lima bulan akan datang beliau akan meneruskan usaha pembaharuan dalam bidang kehakiman dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus dan berdasarkan merit.

Dalam mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan turut serta bersama-samanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju, Abdullah berkata beliau akan membentangkan Rang Undang-undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Parlimen menjelang akhir tahun ini sebagai usaha berterusan untuk membanteras gejala rasuah secara efektif.

Beliau juga bercadang untuk menyelesaikan penubuhan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuh integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan sebagai sebahagian daripada pelbagai usaha untuk menguatkan institusi itu di negara ini.

Perdana Menteri juga berjanji untuk menubuhkan Suruhanjaya untuk mengukuhkan integrasi di antara pelbagai kaum di negara ini.

Abdullah berkata beliau ingin melihat kerajaan dan juga Barisan Nasional memperbaharui komitmen ke arah membina sebuah negara yang bersatupadu dan harmoni.

"Masyarakat telah melihat kemerosotan yang mengejutkan dalam hubungan antara kaum dan agama. Pelbagai isu berbangkit yang mengancam kehidupan rakyat negara ini," katanya.

Abdullah berkata: "Kita perlu bijak menangani isu ini, melalui dialog: menanganinya secara konstruktif dan adil: menjamin ketelusan dan tanpa sebarang keraguan dan memberikan fokus kepada aspek-aspek yang akan menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua."

Sehubungan itu, Abdullah berkata beliau akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional awal tahun depan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kejayaannya.

Mengenai ekonomi, Abdullah berkata beliau banyak bercakap mengenai keperluan bagi memastikan kekayaan dan hasil kemakmuran negara diagih-agihkan.

Dalam Bajet 2009, Abdullah berkata beliau telah menjelaskan mengenai komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial.

"Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu disegerakan bagi membantu rakyat malaysia yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas yang akan dapat mula dinikmati di Iskandar dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di seluruh negara," katanya.

Abdullah berkata disebalik rekod kejayaan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkeyakinan penuh bahawa Malaysia kini berada di persimpangan bersejarah.

"Kita mesti memperbaharui beberapa elemen negara kita, kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan atau kita menanggung risiko kehilangan kesemua yang kita capai dalam tempoh 50 tahun," katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sementara itu, ketika menjawab soalan media, Abdullah berkata beliau tidak menyesal di atas keterbukaannya dalam beberapa isu kerana beliau percaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya tidak menyesal dengan apa yang telah saya lakukan, bagaimana reaksi orang ramai dan cara mereka bertindakbalas, apa yang mereka fikir bukan menjadi masalah. Kita telah melakukannya dan saya percaya perubahan akan mendatangkan yang berkesan kepada rakyat.

"Saya sentiasa percaya perlu ada lebih ruang bagi membincangkan demokrasi. Ia telah menjadi kepercayaan saya sejak begitu lama dan apa yang saya lakukan adalah saya zahirkannya di dalam manisfesto pilihanraya 2004," katanya ketika ditanya sama ada beliau kesal dengan sesetengah daripada keputusannya untuk bersikap lebih terbuka dalam banyak isu yang dipercayai menjadi punca memaksa beliau meletak jawatan.

Perdana Menteri berkata beliau berasa "tidak apa" selagi BN masih memimpin negara ini.

"Saya percaya kerajaan mampu kekal kuat, sehingga kita menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira bila, InsyaAllah kita akan menang," katanya.

Abdullah yang kelihatan ceria dan banyak tersenyum juga menolak dakwaan bahawa beliau dipaksa meletak jawatan oleh beberapa pemimpin.

"Saya tahu saya tidak menjalankan kerja sebaiknya semasa pilihanraya. Saya fikir, sebelum orang lain mengambil alih, kita memerlukan pemimpin-pemimpin generasi baru, dan saya fikir tidak ada salahnya dengan perkara itu," katanya sambil menambah bahawa beliau membuat keputusan atas rasa kecintaan beliau kepada UMNO dan BN.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata beliau akan berbincang berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Najib selepas Perhimpunan Agung UMNO pada April nanti.

"Pada satu peringkat saya perlu menyerahkannya kepada pengganti saya. Siapa pengganti saya? Saya berharap Datuk Seri Mohd Najib. Dan tahu mengapa saya berkata berharap? Kerana beliau bertanding dalam pemilihan, kalau tidak okay. Beliau terpaksa bertanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dulu. Saya percaya beliau boleh menang.

"Selepas Datuk Najib telah menjadi Presiden dan saya harap beliau akan menjadi Presiden, baru kami akan berbincang mengenainya," kata Abdullah.

Menjawab soalan sama ada pemimpin-pemimpin komponen parti yang lain menerima Najib sebagai pengganti beliau, Abdullah berkata mereka menerimanya.

"Mereka sambut baik. Itu terserah kepada mereka, saya tak memujuk, tak ada kata apa-apa. Apa yang mereka lahirkan adalah pandangan mereka," katanya.

Ketika ditanya apa akan dilakukannya jika beliau masih menerima pencalonan untuk jawatan itu, Abdullah berkata: "Saya dah buat keputusan. Orang nak calonkan, apa kita boleh buat, kita dah beritahu awal-awal lagi dah."

-- BERNAMA

8 October 2008

KERAJAAN ICELAND MUFLIS?

Mengikut berita antarabangsa CNN Kerajaan Iceland adalah di ambang kemuflisan. Ini adalah kesan dari kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat dan dunia Barat

TEGAS TANGANI HINDRAF


KUALA LUMPUR 7 Okt.(Utusan Malaysia) – Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan mahu tindakan tegas dikenakan ke atas Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana didakwa mempunyai agenda tersendiri ketika penyokongnya bertindak tidak sopan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Rabu lalu.

Pensyarah Kanan Jabatan Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian mendakwa kehadiran mereka pada majlis itu bukan untuk memperjuangkan pembebasan lima pemimpin Hindraf, sebaliknya sengaja mahu membuat kacau dan mencetuskan kemarahan para pemimpin negara.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kejujuran mereka dalam membela nasib lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

‘‘Mereka sebenarnya tidak mahu kelima-lima tahanan itu dibebaskan. Mereka sengaja mahu menimbulkan kekacauan pada majlis yang dihadiri oleh para pemimpin negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan para penyokong Hindraf mencetuskan kekecohan sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra pada hari raya pertama.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, tindakan penyokong Hindraf itu memberi gambaran negatif terhadap kaum India negara ini.

‘‘Tafsiran kaum lain terhadap kaum India mungkin terjejas selepas tindakan yang tidak bermoral kumpulan tersebut.

‘‘Budaya kaum India menyinggung perasaan kaum lain pada perayaan mereka,’’ jelasnya.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang tegas dengan mengenakan tindakan undang-undang ke atas ahli Hindraf yang tidak menghormati perayaan agama kaum lain.

‘‘Mereka sudah keterlaluan, Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut umat Islam setelah sebulan berpuasa,” katanya.

Menurut Osman, selama ini, masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mengganggu perayaan agama lain dan amat menghormati agama yang dianuti kaum lain.

Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani pula memberitahu, kerajaan tidak sewajarnya ‘memberi muka’ kepada Hindraf yang seolah-olah mahu berlagak seperti hero kepada masyarakat India.

Katanya lagi, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlarutan sehingga akhirnya sukar dibendung.

‘‘Hindraf merupakan golongan yang terpelajar tetapi tindakan mereka itu seperti rakyat kelas ketiga yang tidak mencerminkan latar belakang akademik mereka,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Bekas-Bekas Polis, Shafie Bakri berkata, tindakan Hindraf yang agresif boleh mengundang bahaya dan tingkah laku mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan negara.

‘‘Perkara ini tidak boleh dibiarkan, Hindraf sudah naik tocang, perlakuan mereka macam kaduk naik junjung,’’ tegas beliau.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan tidak perlu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana perlakuan anggota Hindraf sudah sampai ke tahap yang benar-benar menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam.

‘Hindraf adalah pertubuhan haram, tetapi saya hairan kenapa KDN masih membisu dan tidak berbuat apa-apa. Mereka telah mencemari perayaan umat Islam dengan perlakuan yang kurang ajar dan amat menyinggung perasaan orang Melayu di negara ini.

‘‘Perdana Menteri secara terbuka telah meluahkan perasaan kecewa terhadap mereka, maka saya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya bertindak segera,’’ katanya.

SYED HAMID TIDAK GENTAR


KUALA LUMPUR 7 Okt. (Utusan Malaysia) – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak gentar dengan tindakan pertubuhan haram, Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang membuat laporan polis terhadapnya.

Kata Syed Hamid, beliau tetap akan menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

‘‘Mereka boleh ambil apa juga tindakan. Saya tidak akan berganjak dengan ancaman.

‘‘Saya tetap menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta ketenteraman awam di samping mengingatkan kepada semua betapa pentingnya perpaduan dan keharmonian,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Hindraf membuat laporan polis terhadapnya dan Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang semalam, berikutan kenyataan dan laporan yang didakwanya berbentuk hasutan dan berbau provokasi terhadap mereka.

Penyelaras pusat Hindraf, R. Thanenthiran mendakwa laporan muka depan Utusan Malaysia pada 4 Oktober lalu yang memetik kenyataan Syed Hamid bertajuk Hindraf Diberi Amaran sebagai tidak adil dan bersifat perkauman.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap pertubuhan haram itu dari terus melakukan kekacauan, Syed Hamid menyatakan, sebagai sebuah organisasi yang tidak sah, Hindraf tertakluk kepada undang- undang.



7 October 2008

INVESTORS WORRY OVER WALL STREET SLIDE


Joseph Chin-The Star

KUALA LUMPUR: The overnight fall on Wall Street pushed Asian equities lower in early trade on Tuesday as investors also turned jittery about the effectiveness of the actions taken by central banks to resolve the liquidity crisis.

Japanese Prime Minister Taro Aso said on Tuesday the US financial conditions were very severe and probably their worst since the late 1920s.

At 9.15am, the KL Composite Index was down 16.3 points or 1.64% to 980.54. Turnover was 32.53 million shares valued at RM55mil. There were 16 gainers, 150 losers and 58 counters unchanged.

Monday's markets at a glance

Asian markets fell with Japan’s Nikkei 225 down 358.86 points ot 3.43% to 10,114.23, Singapore’s Straits Times Index fell 1.32% to 2,139.72 and South Korea’s Kospi 1.1% to 1,343.86. Australia’s S&P/ ASX 200 lost 2.15%to 4,443.0.

Oil was trading at US$88.5 per barrel.

HwangDBS Vickers Research said it was déjà vu for investors around the world as share markets in the US and Europe fell in a black Monday in the month of October yesterday, with the Dow Jones Industrial Average plunging 3.6% (after rebounding from an earlier loss of 7.7%) at the closing bell.

In a research note, it added expected selling activity to carry on today driven by the view that the initiatives taken by central banks across the regions so far are inadequate to resolve the liquidity crisis, which has spread on to hit some European financial institutions now.

“Technically, after slipping into the triple-digit territory yesterday, the key KLCI will probably break below last week’s trough of 993.60 ahead, with the next support level standing at 960,” it said.

ISU KARPAL : PM MAHU LAPORAN


UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung status siasatan kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat terkini berhubung kes itu dan akan meminta penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Perkara ini (status siasatan terhadap Karpal Singh) akan saya tanya dengan Peguam Negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beberapa NGO sebelum ini menuntut tindakan lanjut ke atas Karpal yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury pada awal Mei lepas.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Karpal mempertahankan kenyataannya dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak dengan alasan kenyataan tersebut membabitkan isu perundangan.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memaklumkan polis selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal.

Bagaimanapun, Abdul Gani pada 5 Jun dilaporkan mengarahkan polis membuat siasatan lanjut.

Sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut berhubung siasatan berkenaan sehingga menimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang terlalu lama.

5 October 2008

BERTINDAK TEGAS ELAK HINDRAF LEBIH AGRESIF

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) bagi mengelakkan anggota pertubuhan haram itu menjadi lebih agresif ekoran tindakan keterlaluan mereka.

Dekan Pasca-Siswazah dan Penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu sebelum kumpulan itu bertindak lebih agresif.

Pengalaman beberapa kumpulan pelampau agama yang menjadi militan sebelum ini, katanya, harus dijadikan contoh.

"Kerajaan tidak perlu bertolak ansur dengan Hindraf memandangkan ia sebuah kumpulan haram yang bergerak atas dasar perkauman sempit dan membuat pelbagai dakwaan," kata Mohamed Mustafa kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan anggota Hindraf 'menyerbu' di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Rabu lalu.

"Kumpulan itu memperjuangkan isu-isu politik berlandaskan satu agama dan satu kaum,'' jelasnya, sambil menambah matlamat tersebut berbahaya kepada hubungan kaum di negara ini.

Mohamed Mustafa memberitahu, sebelum ini kerajaan telah mengharamkan dan bertindak tegas ke atas beberapa kumpulan pelampau agama.

Justeru, kata beliau, tindakan yang sama perlu diambil terhadap Hindraf.

"Kadang-kadang manusia lupa kepada sejarah dan menuduh kerajaan tidak demokratik sedangkan kumpulan seperti Hindraf mempunyai saluran dan cara yang sah untuk membuat aduan dan rayuan," katanya.

Semalam, ketika mengulas kes penyokong Hindraf di PWTC, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberi amaran kepada para pemimpin pertubuhan itu supaya "jangan melakukan provokasi yang melampau dan menakutkan."

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan pelampau baik Islam mahupun bukan Islam.

Menurut beliau, tindakan Hindraf tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat dan kaum lain.

"Anggota kumpulan itu perlu berhati-hati sebelum berlaku sesuatu yang hanya akan merugikan mereka akibat daripada perbuatan menimbulkan keadaan yang boleh menjurus kepada huru-hara dalam negara," katanya.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Datuk S. Subramaniam pula meminta Hindraf menggunakan pendekatan perbincangan dan perundingan untuk mendapatkan sesuatu daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, sewaktu menjadi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dahulu, beliau mengamalkan cara rundingan dengan kerajaan untuk membincangkan apa juga masalah yang dihadapi.

"Apa yang diperoleh di meja rundingan bergantung kepada kebijaksanaan kita merundingkan perkara itu," jelasnya.

Bagi Suhakam pula, tegas beliau, pihaknya hanya melihat isu 68 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari sudut hak asasi manusia.

Kata beliau, Suhakam akan menggunakan meja rundingan bagi menjaga kebajikan mereka yang ditahan di bawah ISA

3 October 2008

HINDRAF KETERLALUAN



KUALA LUMPUR 2 Okt. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mengutuk keras dan menyifatkan perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Islam sebagai keterlaluan, biadap dan menghina kesucian 1 Syawal.

Sambil membayangkan tindakan pertubuhan haram itu didalangi individu tertentu dengan tujuan menghancurkan perpaduan negara, mereka meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan tekanan daripada kumpulan yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati kerajaan.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, perbuatan kumpulan berkenaan adalah menghina perayaan besar umat Islam, tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan tujuan mereka menimbulkan kekecohan dalam suasana Perdana Menteri dan rakyat jelata meraikan 1 Syawal, seolah-olah cuba memberi gambaran negatif bahawa mereka langsung tidak mendapat peluang bertemu Perdana Menteri pada hari lain.

Katanya, insiden itu dikhuatiri didalangi pihak-pihak tertentu dengan mempergunakan suasana perayaan dan kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengganggu serta memberi imej buruk kepada negara luar.

Beliau berkata, kejadian itu bukan menunjukkan perjuangan tulen tetapi mengambil kesempatan merosakkan imej negara selain memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak mengamalkan budaya tolak-ansur.

“GPMS meminta kerajaan supaya jangan melayan mereka kerana Hindraf bukan pertubuhan sah. Mereka patut dikenakan tindakan, tidak kisah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau undang-undang lain.

“Biar ia menjadi pengajaran. Tidak pernah berlaku insiden sebegini dalam sejarah 50 tahun kita merdeka. Ini perbuatan berani tidak bertempat dan dipengaruhi demonstrasi jalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.

Menurut saksi, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad hari raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

Sementara itu, The Star Online memetik kenyataan K. Shanti, isteri kepada Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bahawa isi kandungan kad raya yang diserahkan meminta Perdana Menteri membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

“Mesej kami ialah kami mahukan hero-hero kami dibebaskan. Ini adalah rumah terbuka dan kami boleh datang, jika kami mahu. Semasa hari raya ini, kita sepatutnya bermaaf-maafan.

“Jadi, kami memaafkan dosa-dosa UMNO terhadap komuniti India. Kami hanya mahu tahanan Hindraf dibebaskan,” kata Shanti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kumpulan itu mengambil peluang suasana rumah terbuka untuk menonjolkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lain.

Katanya, perbuatan itu tidak kena pada masanya iaitu ketika sambutan Aidilfitri bagi meraikan kemenangan umat Islam menjalani ibadat puasa dan merapatkan hubungan sesama rakyat.

“Mereka tidak menghormati orang Islam yang merayakan Aidilfitri,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, perbuatan penyokong Hindraf itu sepatutnya membuka mata rakyat tentang siapa sebenarnya kumpulan yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Kita selalu memikirkan orang lain dan tidak mengambil kira perasaan sendiri. Mereka sudah melampau dan tidak prihatin kepada suasana 1 Syawal yang menjadi perayaan besar umat Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Pribumi Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Hindraf adalah pertubuhan haram yang semakin mencabar undang-undang serta nampak bersedia menimbulkan kekecohan tanpa mengira tempat dan keadaan.

Katanya, Hindraf langsung tidak mempedulikan dan menghormati perayaan besar umat Islam menyambut 1 Syawal.

Timbalan Presiden MBM, Datuk Idris Haron pula menganggap Hindraf dan pihak yang mendalangi kumpulan itu sebagai pengkhianat kepada perpaduan kaum di Malaysia.

Beliau yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) berkata, perbuatan mereka cuba menguji kesabaran orang Melayu dan kerajaan serta berniat mahu menghancurkan negara dan perpaduan yang dibina lebih 50 tahun lalu.

“Kita perlu siasat siapa dalang mereka dan beri peringatan keras supaya mereka tidak terus mencuba mencetuskan ketidakseimbangan sosial negara” tegasnya.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Helmi Ismail pula berkata, perbuatan kira-kira 1,000 anggota kumpulan itu langsung tidak kena pada tempatnya dan keterlaluan kerana mengganggu majlis rasmi yang dianjurkan oleh pemimpin kanan negara.

Katanya, selain itu, tindakan kumpulan itu yang sering menggunakan kanak-kanak sebagai barisan hadapan setiap kali demonstrasi diadakan adalah tindakan pengecut.