26 July 2008

PERTEMUAN UMNO-PAS SELESAIKAN BANYAK MASALAH


KUALA LUMPUR 25 Julai - Pertemuan antara UMNO dan Pas akan dapat menyelesaikan banyak masalah terutama berkaitan dengan usaha memelihara kesucian agama Islam serta isu-isu membabitkan perpaduan orang Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak wajib mendoakan supaya hasrat yang lahir daripada UMNO dan Pas itu akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau menegaskan, pertemuan itu amat dinanti-nantikan oleh masyarakat Melayu kerana ia melibatkan kepentingan mereka dan Islam.

"Saya yakin kedua-dua parti akan menemui satu titik persefahaman dalam setiap perjumpaan yang bakal diadakan kelak.

"Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu yang beragama Islam, sememangnya ia menjadi satu peristiwa yang amat ditunggu-tunggu oleh kita semua,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib semalam bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pertemuan UMNO dengan Pas diteruskan demi kepentingan rakyat dan agama Islam.

Kata Muhammad, perkara itu ditekankan oleh Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhammad, Perdana Menteri memberitahu umat Islam tidak boleh berbalah walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang soal-soal pentadbiran kerana daripada segi agama, perlu ada kerjasama dan persefahaman antara UMNO dan Pas yang mewakili kepimpinan Islam.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu khuatir ekoran perkembangan tersebut.

Jika itu berlaku beliau berkata, ia merupakan sesuatu yang amat menghairankan kerana sememangnya menjadi tanggungjawab UMNO mahu pun Pas untuk memastikan kepentingan Islam dan Melayu di negara ini tidak terjejas.

"Urusan yang berkaitan dengan Islam dan orang Melayu merupakan hak kita dan kita akan menguruskannya dengan sebaik-baiknya.

"Namun begitu orang bukan Islam tidak harus bimbang kerana apa yang kita lakukan ini tidak akan menjejaskan kepentingan mereka. Kepentingan mereka tetap akan terpelihara,'' katanya.

7 July 2008

PM RASMI EPG MALAYSIA-INDONESIA SEMPENA D8


07/07/2008 - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan Mesyuarat Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Malaysia-Indonesia sempena Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) petang ini.

Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Kumpulan EPG Malaysia-Indonesia mempunyai tanggungjawab untuk meninjau, berbincang dan mencari penyelesaian mengenai segala isu termasuk berkaitan ekonomi, kebudayaan dan agama melibatkan kedua-dua negara.

Anggotanya, masing-masing tujuh dari Kuala Lumpur dan Jakarta akan menyalurkan pandangan yang akan disampaikan kepada kerajaan masing-masing agar pemerintah dapat menentukan jalan penyelesaiannya.