28 July 2010

MIDA DIJENAMA SEMULA, PUSAT SEHENTI PELABUR

MIDA dijenama semula, pusat sehenti pelabur

27/07/2010 12:57pm

SEOUL 27 Julai - Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) kini dikenali sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berikutan penjenamaan semulanya dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjenamaan semula itu bagi membolehkan MIDA menjadi pusat sehenti untuk memudahkan pelabur terutamanya dalam proses mendapatkan kelulusan projek pelaburan di Malaysia dalam tempoh paling singkat iaitu sehari.
Berikutan itu, tiga akta berkaitan akan dibawa untuk pindaan pada sesi Dewan Rakyat Oktober ini iaitu Akta Promosi dan Pelaburan, Akta Cukai Pendapatan dan Akta MIDA.
“Penjenamaan semula MIDA sudah dilakukan pada peringkat pentadbiran dengan penubuhan sebuah jawatankuasa yang bertanggung jawab meluluskan semua pelaburan bernilai sehingga RM1 bilion.
"Jawatankuasa ini yang dianggotai wakil-wakil koridor pembangunan negara dan Kementerian Kewangan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Semua kelulusan dibuat jawatankuasa ini adalah muktamad,” katanya pada sidang media di sini selepas bersarapan bersama-sama wartawan Malaysia yang menyertai lawatan rasmi empat hari beliau ke Korea Selatan bermula semalam hingga Khamis ini.

Di bawah pindaan itu, Muhyiddin berkata, MIDA akan mempunyai bidang kuasa untuk memberi insentif kepada pelabur tanpa merujuk kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Kementerian Kewangan.
Untuk membolehkan MIDA memberi kelulusan segera terhadap permohonan pelaburan dari luar negara, katanya, beberapa kuasa daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen serta pihak berkuasa tempatan akan diperturunkan kepada lembaga berkenaan dengan menempatkan pegawai berkaitan di bawah MIDA. - Bernama

No comments: