2 August 2010

Denda RM500,000 jika tipu sijil dan logo halal

Denda RM500,000 jika tipu sijil dan logo halal

02/08/2010 4:11pm

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pengusaha restoran boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati melakukan penipuan dalam sijil dan logo halal.
Syarikat pula berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM1 juta, atau kedua-duanya sekali, jika melakukan perbuatan yang sama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Parlimen meluluskan pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan 1972.
"Kementerian sedang dalam proses membuat pindaan ke atas Akta Perihal Dagangan 1972, yang akan dilaksanakan tidak lama lagi selepas kementerian membentangkan akta ini, yang kita jangka akan dibuat pada sesi Oktober yang akan datang ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010 di Dewan Negara hari ini.
Akta sedia ada memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi pesalah individu, manakala syarikat pula berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ismail Sabri berkata selepas pindaan akta tersebut, mana-mana pihak yang didapati mengulangi kesalahan tersebut, tempoh hukuman penjara ditambah kepada 10 tahun manakala denda pula dinaikkan kepada RM1 juta. - Bernama

No comments: