12 July 2010

Radix Fried Chicken ke Indonesia, China

Pendapat DRT:  Inilah contoh syarikat Bumiputra yang konsepnya betul dan diueuskan dengan berjaya.


Radix Fried Chicken ke Indonesia, China

KANGAR 11 Julai - Syarikat HPA Industries Sdn. Bhd. menyasarkan pelaburan RM20 juta bagi pembukaan kira-kira 15 cawangan restoran makanan segera, Radix Fried Chicken (RFC) di luar negara.
Pengarah Urusannya, Ismail Ahmad berkata, tumpuan utama kini ialah membuka tiga cawangan RFC di Indonesia pada awal tahun depan.
"Pada masa ini kami sudahpun membuka ladang ternakan ayam, termasuk ladang makanan ternakan seperti jagung di negara berkenaan sebagai persediaan bagi pembukaan restoran RFC," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan cawangan restoran RFC yang keenam di Seriab di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, selain negara jiran itu, HPA kini dalam proses membuka sebuah lagi cawangan restoran RFC di Quangzhou, China tahun depan.
Dalam pada itu Ismail berkata, RFC yang baru beroperasi selama setahun enam bulan merancang memperluaskan rangkaian restoran makanan segeranya yang berkonsepkan ayam segar organik di Lembah Klang pada penghujung tahun ini.
Dua lokasi telah dikenal pasti ialah Bangi dan Shah Alam dan dalam masa yang sama 10 buah lagi cawangan akan dibuka di Kelantan, Pahang dan Johor.
Beliau berkata, pasaran di Lembah Klang akan diceburi sepenuhnya apabila RFC mendapat lesen francais yang akan membuka peluang perniagaan para usahawan dan orang ramai yang berminat.
"Ayam goreng yang dihasilkan RFC kini semakin mendapat sambutan daripada orang ramai berikutan kesedaran mereka tentang kebaikan makanan organik, segar dan baik untuk kesihatan namun yang utama ia halal," katanya.
Katanya, dalam tempoh masa yang singkat RFC membangun dengan pesat sehingga hujung tahun ini dengan 12 restoran akan dibuka.
Menurut Ismail, pihaknya merancang membuka 400 cawangan RFC di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun termasuk Sabah dan Sarawak melalui perniagaan francais.
"Setiap satu outlet RFC yang dibuka menelan kos sekitar RM1 juta sehingga RM1.5 juta manakala semua bahan mentah diselia rapi menggunakan produk keluaran daripada HPA," ujarnya.

No comments: