14 June 2008

SAYA TIDAK AKAN ROSAKKAN UMNO - NAJIB

LONDON 12 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan UMNO, jauh sekali daripada menghancurkan parti itu hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.

Menurutnya, beliau percaya peralihan kuasa UMNO perlu dilakukan menerusi tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak yang akan menyebabkan parti lemah serta tidak berupaya menghadapi cabaran pilihan raya.

Menjawab soalan seorang peserta pada syarahan umum anjuran kumpulan pemikir hal ehwal antarabangsa United Kingdom di Chatam House, di sini, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, ia merupakan cara terbaik untuk memastikan parti kekal kukuh.

"Saya datang daripada keluarga di mana ayahanda saya (Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein) membantu menubuhkan parti dan saya bukannya anak yang memusnahkan parti. Saya mahu terus menyambung membangunkan parti ini," katanya.

Seorang peserta semasa sesi soal jawab syarahan umum anjuran Institut Diraja Hubungan Antarabangsa dan Forum Perniagaan ASEAN-United Kingdom (AUBF) itu bertanyakan mengapa Najib tidak mengambilalih tampuk pemerintahan ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum Mac lalu.

Najib adalah dalam rangka lawatan ke United Kingdom untuk menghadiri sidang kemuncak mini Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, orang ramai boleh memberi pendapat masing-masing dan beliau tidak bertindak bukan kerana tidak berani atau pengecut.

Beliau menambah, UMNO yang kini berada pada tahap yang rendah akan terus melemah dan tidak berupaya untuk menghadapi cabaran pilihan raya jika ahli-ahli parti terus berbalah merebut tampuk kepimpinan.

"Apakah yang ada dengan mewarisi kedudukan apabila anda kalah dalam pilihan raya. Saya tidak mahu memimpin parti untuk kalah," katanya.

Dalam pada itu semasa sidang akhbarnya dengan wartawan Malaysia, Najib menekankan bahawa sebagai generasi penerus kepimpinan terdahulu, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan parti berada dalam keadaan kukuh.

"Ini bererti dalam apa-apa keputusan yang saya buiat selama ini, saya tanya diri saya apakah ini baik untuk parti atau pun sebaliknya," jelasnya.

No comments: