4 June 2008

AKI DAN WAN DALAM KENANGAN



Gambar diatas saya dapati semasa saya berada di Brunei baru-baru ini. Ia diberikan oleh sepupu saya Dato Paduka Yusof Hamid yang berdiri antara ibunya disebelah kiri dan Aki di sebelah kanan dalam gambar tersebut.

Mengikut Yusof gambar ini diambil dihari Aki dan Wan akan berangkat balik dari Brunei ke Malaya (Tanah Melayu). Orang Brunei memanggil Tanah Melayu sebagai 'Malaya' Pada pendapat saya gambar ini diambil sekitar tahun 1956 atau 1957. Yusof kata dari perawakan emaknya (Mak Cik saya Hajjah Ainon) nampak beliau sedang bersedih kerana ayah dan emaknya akan balik meninggalkannya. Mungkin dia tahu atau mungkin tidak tapi perpisahan ini adalah perpisahan terakhir antara beliau dan emaknya. Wan saya Hajjah Saniah binti Haji Harun meninggal dunia pada tahun 1960 di Tanjung Malim. Iaitu tiga atau empat tahun selepas gambar diatas diambil.

Aki Hj Abdul Hamid Abdullah dan Wan tinggal lama di Brunei. Mereka mula-mula pergi ke Brunei sebelum Perang Dunia Kedua. Mak Cik saya kemudiannya berkahwin dengan orang Brunei bernama Abdul Hamid. Arwah Pak Cik juga bertugas di Jabatan Hutan Brunei.

Pada ingatan saya Aki dan Wan mempunyai darah pengembaraan. Mereka suka menukar tempat tinggal mereka. Mereka pernah tinggal lama di Mekah. Mereka pergi ke Mekah membawa bersama-sama dua cucu mereka. Seorang ialah adik saya Sulaiman dan seorang lagi ialah Yunus anak sulung Mak Cik yang kemudiannya telah sakit dan meninggal dunia di Mekah.

Mereka kemudiannya pulang ke Brunei selepas meninggalnya Yunus. Selepas itu mereka bersama Sulaiman tinggal samada di Brunei atau Malaya.

Apa yang saya ingat mengenai Wan ialah beliau adalah seorang yang baik hati. Ia suka menolong orang susah. Beliau akan memberi sesuatu yang terbaik yang ada padanya. Samada makanan atau apa-apa bantuan yang beliau beri semuanya yang terbaik darinya.

Wan mempunyai empat orang anak. Seorang anak lelaki Mohd Yakin adalah hasil perkahwinannya dengan suami pertamanya. Pak Tua Yakin bertugas dalam Jabatan Hutan. Beliau pernah jadi Pengarah Hutan Pahang dan Brunei di tahun 60an. Beliau mempunya enam orang anak iaitu Datin Azizah, Salmah, Dr Fatimah, Fadillah, Mohd Nazar dan Dr Fauziah.

Dengan Aki, Wan mempunyai tiga orang anak Hajjah Hafsah, Mokhtar dan Hajjah Ainon. Arwah Pak Cik Mokhtar meninggal dunia semasa di sekolah menengah.

Hajjah Hafsah mempunyai sepuluh orang anak iaitu Dato Othman, Tan Sri Muhammad, Dato Raduan, Dr Sulaiman, Datin Latifah, Dato Hasan, Kamarul Zaman, Fatimah, Fauziah dan Hj Hasbullah.

Hajjah Ainon juga ada sepuluh orang anak. Dato Pehin Ishak, Dato Paduka Yusof, Ismail, Hajjah Edah, Hajjah Jamelaton, Zaharah, Hajjah Hasnah, Narimah, Hajjah Noraini dan Hajjah Radziah

Adalah diharap dan didoakan supaya keturunan dan cucu dan cicit Aki dan Wan akan terus menyumbang dan memberi khidmat kepada masyarakat setempat di mana mereka tinggal.

Dan semoga Allah senantiasa mencucuri rahmatNya keatas roh Aki dan Wan dan dimasukkan keduanya dalam golongan mereka yang terpelihara.

Al Fatihah.

No comments: