29 January 2009

Rakyat Malaysia Jangan Terlalu Pilih Pekerjaan - Abdullah


KAMPAR, 29 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat Malaysia yang masih menganggur supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang kini tidak menentu.

Beliau berkata mereka sebaliknya perlu merebut apa juga peluang pekerjaan yang mampu memberikan sumber pendapatan termasuk pekerjaan yang kini dilakukan rakyat asing.

"Kita mahu supaya kerja yang rakyat asing ini lakukan, juga dapat rakyat kita lakukan.

"Kita jangan pilih kerja sangat pada waktu kita memerlukan pekerjaan dan pendapatan," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Kuning di sini, Khamis.

Perdana Menteri juga berharap sektor perkilangan negara ini tidak lagi mengambil rakyat asing tanpa izin, sebaliknya mengutamakan pengambilan anak tempatan yang kini menganggur.

Beliau juga mahu agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengeluarkan lebih banyak permit kepada individu menganggur yang ingin berniaga.

Abdullah berkata rakyat Malaysia juga perlu mengutamakan pembelian barangan tempatan kerana selain harganya yang berpatutan dan mutunya yang baik, ia juga mampu menjamin kilang yang menghasilkan barangan itu terus beroperasi.

"Langkah beli barangan Malaysia ini maknanya besar. Kalau beli barangan Malaysia, kilang akan terus beroperasi dan menjamin tidak ada pekerja rakyat kita yang akan kehilangan pekerjaan," katanya.

Abdullah juga mahu supaya mereka yang menganggur mengusahakan kerja sendiri dalam bidang yang mereka mampu.

"Saya anggap bidang pertanian masih merupakan satu bidang yang memberi ruang untuk ramai anak-anak kita mengusahakan pekerjaan sendiri," katanya.

No comments: