27 April 2009

Selamat datang ke Selangor, Dato Seri Najib

Nukilan saya pada 21hb yang lalu meminta Dato Seri menjadi Ketua Perhubungan Umno Selangor dan Dato Noh sebagai Timbalan nampaknya sudah menjadi kenyataan.

Saya selanjutnya ingin membuat beberapa saranan lanjutan yang bertujuan memantap Umno dan BN Selangor .

Pertama jawatan Ketua Pembangkang di DUN Selangor haruslah diisi oleh muka baru. Secara terus terang saya katakan bahwa penyandang jawatan itu sekarang, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo telah hilang kredibilitinya.

Ini disebabkan telah meluasnya publisiti mengenai penggunaan wang BALKIS untuk membiayai perjalanan keluar negara oleh pemimpin kanan Selangor semasa Dr Khir menjadi MBnya. Dalam kenyataan Datin Khairiah Ketua Eksekutif PNSB (Permodalan Negeri Selangor Bhd) kepada Jawatankuasa Dun Selangor yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Selangor , beliau telah memberikan semua butiran dan fakta mengenai lawatan yang dibuat oleh BALKIS yang melibatkan wang sebanyak RM1.6 juta ringgit duit sumbangan PNSB yang Pengerusinya ialah Dr Khir Toyo sendiri sebagai MB pada masa itu. Ini sudah menjadi pengetahuan umum dan public record yang disiarkan dalam semua media arus utama dan media elektronik.

Lagi pun saya melihat ada semacam perbalahan yang bersifat 'personal' antara MB kerajaan PR dan Ketua Pemangkang dari BN. Ini adalah tidak sihat kepada pihak BN. Perjuangan BN mestilah lebih matang dan berkisar perkara pokok dan dasar. Pembangkang merupakan alternatif kepada kerajaan sediaada.

Bukannya menimbulkan perkara remeh seperti isu lembu. Bila kita timbulkan perkara ini tentunya pihak kerajaan sekarang akan mencari kesalahan-kesalahan kerajaan BN yang terdahulu. Jadi bila keluar cerita-cerita lama terduduk malu kita dibuatnya.

Seharusnya pihak pembangkang BN mestilah senantiasa menjadi alternatif kepada kerajaan dan bila-bila masa saja boleh mengambil tampuk kerajaan Selangor sekiranya ada peluang terbuka.

Oleh itu saya ingin mencadangkan agar jawatan ini (Ketua Pembangkang) diisi oleh muka baru. Ada banyak nama-nama yang boleh diketengahkan. Nama-nama seperti Dato Idris Abu Bakar Adun Kalumpang, Dato Raja Deris Raja Abdullah (Sungei Air Tawar), Dato Subhan Kamal(Taman Templer) dan Dato Mohd Satim Diman (Sri Serdang) boleh ditonjolkan.

Siapa yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang seeloknyalah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan iaitu jawatan ketiga pentingnya dalam Perhubungan Umno Negeri . Disini saya melihat calun favourite yang paling sesuai dan rapat dengan Dato Seri Najib ialah Dato Idris Abu Bakar.

Keduanya oleh kerana memandangkan PRU 13 mesti diadalah pada atau sebelum tahun 2013 Umno dan Barisan Nasional Sekangor haruslah membuat banyak persediaan. Antara sekarang dan tahun 2013 ada empat tahun lagi.

Antara perkara yang saya rasakan adalah penting dalam menghadapi PRU13 yang akan datang ini ialah mengenai faktor calun.

Kalau sebelum in Umno boleh meletakkan sesiapa saja sebagai calun dan menang tetapi pada PRU 12 yang lalu dalam gelombang anti kerajaan yang dahsyat pembangkang pula yang boleh meletakkan sebarang calun dan mereka menang.

Umno kena tukar strategi iaitu haruslah mula memperkenalkan bakal-bakal calun disesebuah Kawasan Parlimen atau DUN. Mereka hendaklah mula membuat kerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat setempat. Mereka ini mestilah diuji dari sekarang hingga 2013. Mungkin ada dua tiga orang untuk satu kawasan yang kemudiannya disaring untuk pemilihan muktamad.

Dalam hal ini, sesuai dengan strategi Dato Seri Najib untuk meremajakan Umno, keutamaan haruslah ditumpukan kepada Ketua-ketua Pemuda Bahagian, Exco Pemuda Umno Malaysia dari Selangor dan Ketua Pemuda Umno Selangor sendiri. Banyak nama-nama yang boleh diketengahkan untuk diuji bakat serta ketahanan perjuangan mereka. Nama-nama seperti Megat Zulkarnain, Suhaimi Shahadan adalah antara beberapa nama untuk ditonjolkan.

Persediaan awal untuk mendedahkan mereka yang boleh dipilih sebagai calun akan mengelakkan calun-calun yang kurang diterima rakyat setempat apabila datangnya Pilihan Raya Umum nanti.

Ini berlaku dalam PRU 12. Contohnya calun DUN Umno Bukit Antarabangsa ialah seorang ahli Puteri yang baru berjuang setahun jagung. Akibatnya beliau telah dimamah hidup-hidup oleh Azmin (PKR) yang adalah seorang pejuang sejak zaman Dr Mahathir lagi iaitu sebagai Pegawai Khas Dato Seri Anwar Ibrahim.

Umno mestilah peka bahwa keadaan politik pasca PRU 12 adalah lebih complicated dan sophisticated dan masti ambil perhatian secara serious.

Ketiganya Umno dan BN mesti engaged dengan masyarakat Cina dan India di kawasan masing-masing. Selangor oleh sebab isu kuil yang diruntuhkan pada tahun 2008 telah hilang seratus peratus sokongan masyarakat India akibat isu tersebut dimainkan oleh Hindraf. Mengatasi perkara ini kena buat program untuk tarik balik sokongan India. Kena engaged mereka dan selesaikan masalah sosial, pelajaran, isu tidak ada surat beranak, pengganguran yang tinggi dan gangsterism dalam masyarakat India dan sebagainya.

Begitu juga rakan Umno dalam BN iaitu MCA dan Gerakan mesti memainkan peranan lebih aktif untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina. Dalam Kabinet yang telah diumumkan oleh Najib ada penambahan wakil MCA dan Gerakan. Jadi inilah masanya mereka mengatur strategi menarik balik sokongan masyarakt Cina ke BN.

Dan akhirnya Umno Selangor kena mengkaji dan memahami apakah penyebabnya yang kawasan Parlimen dan DUN di bandar yang majoritinya orang Melayu menyaksikan kekalahan teruk semasa PRU 12 dulu. Kawasan Parlimen seperti Shah Alam dan tiga DUNnya, Gombak dan tiga DUNnya, Ampang Jaya, Hulu Selangor dan Kuala Selangor. Semua kawasan ini secara tradisinya adalah kubu kuat Umno. Adakah pemberian penyapu oleh Menteri Besar terdahulu kepada penjawat awam penyebabnya? Atau ada penyebab-penyebab lain seperti banyaknya calun-calun muda dan kurang dikenali oleh rakyat?

Dengan perlantikan Dato Seri Najib mungkin perkara dan isu ini boleh dilihat dengan lebih neutral dan ikhlas tanpa ada sifat defensif.

Pokoknya kita mesti belajar dari pengalaman dan kesilapan semasa PRU 12 supaya insyaAllah selepas PRU 13 Barisan Nasional akan kembali memerintah Selangor negeri yang maju dan tercinta ini.

27.4.09

2 comments:

mylivingwall said...

Suatu posting yang menarik.

Will feature your post on our website: http://mylivingwall.com and link back to your blog.

All the best!

http://mylivingwall.com

Anonymous said...

interesting comments.. well balanced and sincere..