6 April 2010

Keseimbangan dalam kehidupan - Sedikit coretan

Keseimbangan perlu dalam hidup ini. Tiga aspek perlu dapat perhatian.  Agama, Kerja dan  Keluarga.  Ketiga-tiga ini penting dan perlukan keseimbangan. Dalam hal ini saya ingin berkongsi pengalaman saya.  Mudah-mudahan ia dapat mencetus idea-idea untuk mengatasi apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita.

Kehidupan ini banyak mengharungi pengalaman yang menyenangkan, memuaskan, memilukan, mendukacitakan dan banyak lagi perasaan-perasaan yang lain.  Semuanya dari Allah jua.  Apa yang ditakdirkan tetap akan berlaku.  Kalau Allah mahu menaikkan seseorang ia akan melambung naik walaupun ramai  akan cuba menghalangnya.  Begitu juga kalau Ia hendak menduga sesaorang itu dengan kepedihan, keperitan dan kesengsaraan,  individu tersebut tetap menghadapi dugaan itu walaupun ramai maknusia cuba melindunginya.  Bukan lah saya seorang fatalis.  Kita tahu hidup ini bukannya senang dan boleh dipandang enteng saja.  Kita perlu ada perancangan dalam keseimbangan tersebut.

Dalam pengalaman saya setiap kejayaan itu ada kosnya dan setiap kegagalan pula ada nikmatnya.  Terpulang kepada perspekstif kita dalam memandang sesuatu fenomena yang  berlaku itu.  Ada kawan kata dalam bala itu ada nikmat dan dalam nikmat pula kalau tidak waspada akan jadi bala.

Pengalaman kerja di empat organisasi banyak mengajar.  Mulanya di Kementerian Pertahanan atau masa itu dipanggil Mindef (Kementah), Selepas USM masuk Bank Bumiputra Malaysia Berhad, kemudiannya  SAP Holdings Bhd dan akhirnya Bridgecon Bhd.

Interaksi ketiga-aspek tersebut amat kompleks dan kalau kita kurang waspada akan membahayakan dan menjahanamkan kehidupan kita.  Sebaliknya kalau kita bijak mengimbangi , kita akan dapat bertahan sebarang  ombak dan badai  yang melanggar kita.  Cabaran iersebut  tidak akan dapat meninggalkan apa-apa kesan kepada jiwa dan keutuhan kita.  Kehidupan kita akan semakin meningkat persaingannya dan hanya mereka yang yang terang mata kepala dan mata hati yang akan berjaya dunia dan akhirat.

Agama.  Ia penting kerana ia menentukan keadaan kita dan keturunan kita di alam yang kekal nanti.  Banyak contoh-contoh dalam agama yang boleh jadi senjata melindungi kita.  Keadaan  kita mutakhir ini apa  gejala yang tidak menimpa masyarakat kita. Sistem keluarga mulai lemah.  Masyarakat bercelaru.  Ini semuanya adalah  peroses permodenan dan telah lama berlaku di Barat.  Agama sebagai senjata rohani dan jasmani asli kita telah mulai rapuh dan punah. Ini adalah realiti hari ini.  Apa perancangan dan tindakan kita menjaga generasi kini dan hadapan? Adakah kita sanggup  gadaikan kehidupan yang kekal abadi demi keseronokan dunia yang sementara ini?  Apa kah peranan kita diperingkat keluarga kita masing-masing?  Apa pula peranan pemimpin masyarakat dan negara?  Sama-samalah kita fikirkan perkara ini.

Kerja adalah penting kerana ia punca rezeki dan menentukan  yang kita dapat adalah halal dan berkat untuk darah daging  dan keberkatan hidup kita,  isteri dan anak-anak.  Ada ibu bapa yang bermati-matian bekerja di pejabat dan perniagaan.  Yang kerja di pejabat penting bertugas dengan ikhlas dan jujur.  Tiada curi tulang atau dapat gaji yang tidak berpatutan dengan sumbangan tugasan  mereka.  Pendapatan begini tentunya tidak berkat.  Apa jadi dengan anak-anak  bila rezeki sebegini yang dibawa balik ke rumah?
Begitu juga yang dalam dunia korporat.  Ada berlaku  penyalahgunaankuasa dan rasuah oleh ketamakan.  Kadang-kadang saya  terfikir juga  setiap kali berlaku krisis  atau resesi ekonomi adalah disebabkan oleh kerakusan dan ketamakan maknusia yang tidak ada had  langsung.  Contoh seperti Skim Ponzi oleh Syarikat Bernard Madoff di Amerika yang telah menipu berbillion-billion Dollar  duit pelabur-pelabur syarikatnya.  Dia kemudiannya dihukum penjara maksima selama 150 tahun.
Di Malaysia pun ramai tokoh korporat yang terjejas bila Ringgit dan Pasaran Saham Malaysia merudum pada tahun 1987.  Begitu juga bila ekonomi Amerika meleset pada 2008 ,  banyak syarikat di Malaysia pun turut terjejas.
Mungkin kah ini satu cara penyucian rezeki yang punca harta tersebut adalah kurang bersih?

Dan Keluarga juga penting kerana apalah ertinya kejayaan kebendaan dan material kiranya keluarga kita kurang sempurna.  Ramai mereka yang sibuk membuat harta sampai  anak-anak terbiar dan dalam jagaan orang gaji dan bibik-bibik.  Boleh dikira dengan jari mereka yang kaya raya dan anak-anak mereka pun turut berjaya.  Beruntunglah   mereka yang dalam kumpulan ini yang kaya dan hidup senang dan anak-anak mereka berjaya juga dalam kehidupan  mereka. Allah maha adil.  Yang kaya tidak dapat semua. Yang tidak kaya pun ada bahagian mereka.  Kita dapat menyaksi banyak contok anak-anak dari desa, anak guru, pegawai bank dan kerajaan yang anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.  Ramai yang jadi kumpulan profesyenal atau ada PhD.  Jadi Profesor, doktor, peguam, arkitek, akauntan dan lain-lain yang akan menjadi landasan kepada generasi berikutnya untuk terus berjaya dan maju.
Sebaliknya  ramai anak mereka yang berada yang belajar di luar negeri dan balik dengan tangan kosong tanpa apa-apa kelulusan.
Ada banyak andaian yang boleh dibuat. Fenomena ini adalah universal.  Tidak terhad kepada sesuatu kaum atau bangsa.

Hakikatnya siapa yang pandai mengimbangi kehidupan diantara ketiga-tiga aspek tersebut sebenarnya telah menyedia dan memberikan perisai selamat kepada anak-anak dan keturunan mereka.

Dan gulungan ini harus kita jadikan model.  Dan diperbanyakkan jumlahnya supaya kecelaruan dalam masyarakat dapat dibendung.

No comments: