Oleh Azizah Aziz
KLANG 29 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, sesiapa sahaja termasuk ahli politik yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau sebaiknya tidak perlu datang ke negeri itu.Titah baginda, jika ingin datang ke Selangor, mereka perlu mematuhi dan menghormati segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
‘‘Rakyat harus maklum beta tidak menghalang rakyat dari negeri lain datang ke Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki.
“Bagaimanapun mereka hendaklah mematuhi peraturan dan undang-undang di sini dan tidak mempertikaikannya kerana ia diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
“Sekiranya seseorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin yang dulu dikenali dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang di Kampung Jawa di sini hari ini.Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Titah Sultan Sharafuddin, larangan penggunaan masjid dan surau di negeri ini sebagai tempat berpolitik bertujuan menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam.
Baginda menjelaskan, ini kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.Titah baginda lagi, sekiranya masjid dan surau dibiar digunakan sebagai pentas kempen politik, dikhuatiri ia akan disalah guna dan dicemari dengan perbuatan mencaci serta memfitnah yang akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di Selangor.
‘‘Beta menjelaskan ini kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik dan menganggapnya karut serta sebagai peninggalan penjajah,” titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah, pada zaman Rasulullah, masjid digunakan untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu mereka diancam dan diserang musuh.
Titah baginda, masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk berlindung dan Rasullullah tidak pernah menyebar fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang.
‘‘Justeru, adalah tidak munasabah membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebar agenda politik masing-masing.‘‘Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan juga dewan serbaguna.
‘‘Berceramah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik,” titah baginda.