7 March 2008

AWAS POLITIK PERKAUMAN DAP


Abdullah Ahmad Badawi diiringi Musa Aman (kiri) bersalaman dengan ribuan warga Keningau yang ingin berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara itu semasa menghadiri majlis penutupan Pameran Bergerak Program Yayasan Sabah Bersama Rakyat dan Roadshow Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di Dewan Masyarakat Keningau Sabah, semalam.


PULAU PINANG 5 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya politik perkauman yang dimainkan oleh DAP kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Perdana Menteri berkata, beliau menyedari sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, parti pembangkang itu gemar menghasut satu kaum supaya membenci kaum lain serta cuba mempengaruhi kaum India dan Cina supaya jangan menyokong UMNO.

‘‘Dalam beberapa waktu ini, parti pembangkang mula main politik perkauman, nak ‘cucuk’, nak bagi pecah (negara).

‘‘Jadi, saya mahu ingatkan bahawa bukan orang Melayu bagi Cina susah, bukan India, tapi DAP main politik perkauman Cina. Saya tidak boleh terima politik macam ini,” katanya.

Abdullah berkata demikian ketika berucap di hadapan 5,000 penduduk Cina pada Majlis Malam Satu Hati Bersama Rakyat di Jalan Padang Tembak, Air Itam di sini malam ini.

Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik.

Sentimen perkauman yang dimainkan oleh DAP sepanjang kempen pilihan raya kali ini begitu ketara dengan parti itu mempengaruhi pengundi kononnya mereka bukan mahu menafikan majoriti MCA dan Gerakan di Pulau Pinang tetapi mahu melemahkan kekuatan UMNO.

Abdullah menegaskan, berbanding DAP, BN mahu memastikan konsep perkongsian kuasa dinikmati rakyat pelbagai kaum bagi menentukan negara terus aman, makmur dan stabil.

Beliau menarik perhatian bagaimana UMNO terus mempertahankan konsep perkongsian kuasa itu ketika parti Gerakan yang menerajui kepimpinan Pulau Pinang tewas teruk pada Pilihan Raya Umum 1990.

‘‘Pada 1990, kekuatan Gerakan hanya tinggal tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri, MCA dan MIC kosong (tidak memenangi sebarang kerusi), manakala UMNO meraih 12 kerusi.

‘‘(Ada yang cakap) bahawa inilah masanya untuk UMNO mengambil jawatan Ketua Menteri.

‘‘Tapi saya cakap tidak, sebab muafakat kita dulu ialah jawatan Ketua Menteri ini mesti daripada kalangan orang Cina sebab mereka penduduk majoriti di Pulau Pinang dan ia harus datang daripada parti Gerakan.

‘‘Dan ketika itu Ketua Menteri yang dipilih ialah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon,” jelas beliau.

Soal Perdana Menteri: ‘‘Siapa kata UMNO tamak, UMNO jahat dan UMNO dominan? Kita tidak pernah macam itu. UMNO hidup sebab ia adil kepada semua (kaum).”

Sebab itulah, kata Abdullah, beliau cukup hairan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara tiba-tiba mahu bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya umum kali ini.

‘‘Guan Eng dari mana... Melaka, dia tinggalkan negeri itu dan datang ke sini. Nak minta sokongan rakyat Pulau Pinang... bolehkah saudara-saudari?” soalnya sambil disambut oleh hadirin: ‘‘Tidak boleh, tidak boleh.’’

Perdana Menteri berkata, penduduk Pulau Pinang pasti tidak mahu diperbodoh-bodohkan oleh Guan Eng yang sebenarnya cuba mengambil kesempatan seolah- olah dia memperjuangkan nasib dan masa depan penduduk negeri ini.

No comments: