13 March 2008

MOHAMAD NIZAR SAH MB PERAK, DUA TIMBALAN MB DIWUJUD

Utusan Online

IPOH 12 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Pasir Panjang, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin, 51, mendapat perkenan istana untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baru dalam kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Majlis mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pukul 4 petang esok.

Mohamad Nizar berkata, perkenan pelantikannya sebagai Menteri Besar Perak ke-10 telah dimaklumkan oleh Raja Dr. Nazrin dalam satu pertemuan di Istana Kinta petang ini.

“Dalam membentuk kerajaan baru ini, kita akan menubuhkan dua jawatan baru iaitu Timbalan Menteri Besar Pertama, Ngeh Koo Ham mewakili kaum Cina dan Timbalan Menteri Besar Kedua mewakili kaum India yang akan diumumkan kemudian.

“Saya berharap dengan pelantikan ini, ia akan mengurangkan rasa cemas dan bimbang di kalangan rakyat keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Raja Dr. Nazrin di Istana Kinta di sini hari ini.

Mohamad Nizar seorang perunding di sebuah syarikat kejuruteraan merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University of Aston di Birmingham, United Kingdom.

Ngeh Koo Ham, 47, yang dua penggal berturut-turut menjadi ADUN Sitiawan dan Ahli Parlimen Beruas adalah seorang peguam lulusan Sarjana Muda dari Universiti Malaya merangkap Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.

Mohamad Nizar berkata, kerajaan negeri yang akan ditubuhkan kelak ialah sebuah kerajaan gabungan dengan segala keputusan yang dibuat berdasarkan persetujuan bersama.

“Ia adalah sebuah kerajaan yang mewakili semua rakyat dan mengambil kira kepentingan semua kaum yang terbesar di negeri ini.

“Justeru kita meminta rakyat bekerjasama dengan kerajaan baru ini supaya dapat kita perintahkan negeri ini dengan lebih cemerlang dan gemilang,” katanya.

Mengenai calon-calon Exco kerajaan negeri, beliau berkata, senarainya akan dibincangkan dan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Koo Ham berkata, cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar adalah daripada gabungan kerajaan baru itu.

Katanya, walaupun jawatan baru ini diwujudkan, Perlembagaan negeri tidak perlu dirombak kerana ia lanjutan daripada jawatan Exco.

Ditanya kenapa calon Pas dipilih menjadi menteri besar sedangkan jumlah kerusi yang dimenangi parti itu paling sedikit dalam gabungan tersebut, Koo Ham berkata, Pemangku Raja mengambil beberapa pendekatan dalam keadaan ini dan baginda telah membuat keputusan.

“Tuanku memberi pelbagai pandangan dan sebab kenapa memilih Mohamad Nizar sebagai calon Menteri Besar,” katanya.

No comments: