7 March 2008

REKOD BN TERBUKTI -- BERI SEMULA MANDAT DEMI MASA DEPAN KELUARGA -- ABDULLAH

PULAU PINANG 6 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat membuat penilaian bijak dan tepat bagi memastikan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti rekod perkhidmatannya, diberikan semula mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu ini.

Perdana Menteri menegaskan, adalah penting rakyat berfikir secara mendalam sebelum mengundi kerana pilihan raya merupakan sesuatu yang amat penting dalam menjamin masa depan diri dan keluarga.

‘‘Jadi saya berharap rakyat Malaysia fikir habis-habis (mendalam), ia adalah penting untuk masa depan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Menaik Taraf dan Pembinaan Pusat Jantung dan Pembedahan Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon dan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Pusat jantung yang berharga kira-kira RM110 juta itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Abdullah, rakyat pelbagai kaum perlu memastikan wakil mereka memenangi pilihan raya kali ini supaya semua kaum mempunyai suara dalam Kabinet kerajaan BN.

Beliau tidak mahu kerajaan yang diwujudkan kelak terdiri daripada satu kaum sahaja. Katanya, wakil semua kaum termasuk orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain perlu berada dalam jemaah menteri.

“Ini yang kita mahu dan barulah kerajaan menjadi kerajaan yang benar-benar mewakili rakyat. Suara rakyat daripada semua kaum dapat didengar dan disampaikan oleh mereka yang ada dalam Kabinet.

“Apa akan berlaku jika masyarakat Cina menarik undi mereka daripada BN, nanti tiada suara Cina yang mewakili mereka.

“Kehadiran mereka (dalam Kabinet) pun tidak ada. Itu yang akan berlaku. Macam mana hendak dilantik menjadi menteri kalau semua sudah kalah,” katanya.

Abdullah turut menceritakan pengalaman tidak ada wakil MCA dan MIC memenangi pilihan raya di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum 1990 dan ketika itu baru penyokong MCA dan MIC daripada kaum Cina dan India merasai bahawa mereka tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya itu, parti komponen BN iaitu UMNO memenangi 12 kerusi DUN, Gerakan tujuh, MCA dan MIC masing-masing tidak memenangi sebarang kerusi manakala DAP memperoleh 14 kerusi.

Bagi Abdullah, ketiadaan wakil parti komponen tertentu dalam Kabinet akan menimbulkan kepincangan terhadap gabungan parti pelbagai kaum tersebut.

“Bagi BN, kalau tidak ada wakil daripada parti komponen lain, tentulah ada satu kekurangan yang saya fikir tidak baik. Itu yang boleh saya katakan.

“Jadi saya harap rakyat akan fikir habis-habis tentang perkara ini. Ia sangat penting untuk masa depan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Anda mahu lebih banyak suara di Parlimen atau anda mahu suara dalam Kabinet yang lebih berkesan dalam mewakili pandangan semua kaum,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau melihat prestasi BN setelah 12 hari berkempen, Perdana Menteri yakin BN akan memenangi pilihan raya 8 Mac ini termasuk di dua negeri yang dianggap menghadapi persaingan sengit iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

Abdullah berkata, berdasarkan suara rakyat yang mahukan BN terus memerintah, beliau percaya BN akan diberikan mandat baru untuk menerajui negara.

“Boleh menang, boleh menang, insya-Allah boleh menang. Kita juga akan menang di Kelantan dan Pulau Pinang,” katanya.

Mengenai harga minyak selepas pilihan raya, beliau menjelaskan kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan itu bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kenaikan lain yang tidak munasabah.

“Apa yang kita mahu ialah supaya rakyat tidak dibebankan dengan bayaran lain, itu kehendak kita namun dalam menghadapi kenaikan minyak, kita juga akan terus beri perhatian kepada usaha lain supaya rakyat tidak terbeban.

“Kalau kita tidak kawal, keadaan lagi teruk. Jadi apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah memainkan peranan untuk membantu rakyat dengan memperkuatkan ekonomi serta meningkatkan bidang-bidang lain termasuk perniagaan dan latihan kemahiran,'' kata Abdullah.

No comments: