27 November 2007

ADAKAH ORANG MELAYU BERSEDIA UNTUK MENGHADAPI CABARAN PEMBANGUNAN?

Semasa berbual dengan seorang kawan, seorang jurukur bahan (quantity surveyor) sambil makan roti canai dan teh tarik halia kurang manis, di restoran Al Taqwa, Sri Gombak baru-baru ini, beliau telah melemparkan soalan diatas kepada saya.

Dia tahu saya pernah jadi Yang Dipertua , Dewan Perniagaan Melayu Selangor selama lapan tahun, juga pernah sandang Naib Presiden Dewan Melayu Pusat dan ahli EXCO Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia ( National Chamber of Commerce and Industry Malaysia) (NACCIM).

Bila diajukan soalan tersebut bukannya mudah untuk saya menjawapnya. Ia memerlukan beberapa artikal kerana banyak aspek yang perlu dilihat dan dibincangkan. Ini akan saya lakukan insyaAllah.


Dalam artikal pertama ini saya ingin menyentuh mengenai keadaan survival golongan profesyenal Melayu.


Pada umumnya bolehlah dikatakan yang program kerajaan untuk menambahkan golongan profesyenal Melayu ditahun-tahun paska Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah pun menunjukkan hasilnya. Biasiswa dan bantuan pendidikan yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi-agensi lain kerajaan telah menambah jumlah golongan profesyenal Melayu berbanding dengan keadaan sebelum DEB. Jumlah penduduk Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak lebih kurang 55 peratus pada ketika itu tapi jumlah profesyenal kita amat sedikit malah lebih kecil jumlahnya berbanding kaum India yang merupakan hanya lapan peratus sahaja dari penduduk Malaysia ketika itu.

Contoh pertambahan golongan profesyenal jelas bila kita lihat kumpulan pengurusan yang mentadbirkan Khazanah Malaysia dan anak-anak syarikatnya hari ini dan juga pengurusan Kumpulan PNB, Maybank, Tabung Haji, MAS semuanya adalah terdiri dari pelajar-pelajar yang yang dihantar menuntut di universiti terkemuka United Kingdom (UK) di bawah program British Top Universities (BTU) seperti di Oxford dan Cambridge dan juga universiti terkemuka American Top Universities (ATU) seperti Universiti-universiti Ivy League seperti Harvard, Stanford, Yale, Boston, Cornell, MIT dan lain-lain.

Ramai dari golongan profesyenal seperti doktor, akauntan, jurutera, arkitek, jurukur Melayu samaada yang dilatih di luar negara atau dalam negara ini sendiri yang telah meceburi bidang perniagaan setelah tamat kontrak mereka dengan kerajaan. Doktor
buka klinik, peguam buka syarikat guaman dan profesyenal lain seperti jurutera, jurukur tanah, jurukur bahan , arkitek perancang dan sebagainya akan membuka syarikat konsultansi dalam lapangan profesyenal mereka masing-masing. Ada juga ahli profesyenal ini yang menjadi kontraktor. Di Selangor misal ramai arkitek lanskap yang menjadi kontraktor lanskap. Begitu juga banyak jurutera awam jadi kontraktor. Tidak kurang juga ahli Dewan Selangor yang bidang mereka ialah arkitek perunding sekarang ini menceburi bidang pengurusan konstruksyen.

Walaubagaimana pun konsultan dan kontraktor ini selalunya bergantung kepada kerja-kerja kerajaan atau agensi kerajaan dan syarikat kepunyaan kerajaan. Ini menyempitkan kawasan peluang mereka.

Pada pandangan saya orang Cina selalunya pergi ke klinik Melayu jika mereka merasa ubatnya sesuai untuk mereka. Dari segi ini klinik Melayu lebih berpeluang untuk berjaya dan maju jika mereka memberikan perkhidmatan yang baik.

Dalam bidang farmasi pula kita lihat kurangnya kedai farmasi Melayu. Ahli farmasi Melayu kebanyakannya bekerja dalam perkhidmatan awam atau sebagai ahli farmasi di kedai farmasi Cina. Saya pernah tanya seorang ahli farmasi Melayu mengapa dia tidak buka kedainya sendiri. Jawapannya ialah untuk membuka kedai farmasi ini memerlukan modal yang besar.

Syarikat guaman pula kalau mahu hidup di sektor swasta perlu ada rakan kongsi Cina. Walaupun tiada surat perkeliling atau arahan mengenai perkara ini tapi itulah realitinya. Orang Cina seperti kita sedia maklum licik dengan teknik bisik-membisik diantara mereka. Bukan macam Melayu yang suka heboh-heboh bak kata perpatah " bertelor sebiji riuh sekampung". Kita mesti pelajari teknik orang Cina yang begitu subtle dan halus ini.


Syarikat yang tidak ada rakan kongsi Cina tidak akan dapat menembusi klien di sektor swasta yang rata dimonopli olih syarikat Cina.

Begitu juga dengan konsultan Melayu lain. Mesti ada rakan kongsi Cina untuk survive dan maju di sektor bukan kerajaan. Bagi mereka yang tidak realistik, perniagaan mereka tentunya akan jadi lesu longlai!! Demikianlah kuatnya kempen bisik-bisik ini. Mungkin orang Melayu pun mesti pandai berbisik-bisik sebagai strategi diantara mereka sesama mereka.

Ada ramai juga syarikat Melayu yang mengambil rakan kongsi dan mereka amat berjaya. Contohnya firma guaman yang terbesar di Malaysia dipunyai oleh seorang peguam Melayu yang ada rakan kongsi Cina dan India. Begitu juga pekerjanya juga dari semua kaum.

Jadi pada umumnya golongan profesyenal Melayu dengan pendidikan dan latihan mereka adalah bersedia untuk menghadapi cabaran pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

Soalannya bagaimana pula keadaan golongan-golongan Melayu yang tidak berkelulusan profesyenal menghadapi dalam cabaran pembangunan? Jawapan
nya akan dikupas diartikal yang akan datang.




No comments: