Saya mengenali pemandu India ini secara kebetulan. Namanya Bala. Saya kurang pasti nama penuhnya. Balakrishnan ke atau Balanaidu?. Yang penting saya tahu namanya ialah Bala. Dan kerjanya ialah sebagai pemandu kepada isteri seorang ahli politik.
Semasa saya mula mengenalinya umurnya adalah diawal tigapuluhan. Ia mepunyai tiga orang anak. Setelah berbual lama dengan Bala ini, satu masa saya telah bertanya mengenai perkara wang simpanan. Saya tanya beliau berapa simpananya. Saya menyangkakan ia akan menjawap duit simpanannya lebih-lebih dua atau tiga ribu ringgit sahaja. Tapi jawapannya amat memeranjatkan saya. Beliau berkata simpanannya adalah sebanyak dua belas ribu ringgit.
Saya tanya beliau berapa lama sudah ia kerja dengan majikannya dan berapa gajinya? Jawapnya lebih kurang lapan tahun dan gajinya lebih kurang lapan ratus. Tapi dari masa kesemasa ia dapat bonus semasa sambutan Deepavali. Keinginan saya melonjak-lonjak ingin tahu apa kah rahsia si Bala ini. Perlahan-perlahan saya tanya bagaimana ia boleh menyimpan jumlah sebanyak itu.
Beliau berkata beliau mula menimpan sejak dari dia bujang dan sehinggalah ia berkahwin. Si Bala menambah kalau kita hendak menyimpan duit mestilah semasa anak-anak kita masih kecil sebab masa itu perbelajaan keluarga adalah kecil.
Katanya bila anak-anak kita makin besar perbelanjaan akan tetap makin bertambah. Bila anak-anak mula bersekolah rendah kemudian sekolah menengah dan seterus ke kolej atau universiti tentunya perbebelanjaan keluarga akan bertambah dan tidak akan berkurangan. Bila anak-anak sudah besar amat susah untuk menyimpan. Tambahan pula ia hanya seorang pemandu.
Demikianlah rahsia di sebalik wang simpanan yang banyak bagi seorang pemandu bernama Bala.
Saya ingin mengaitkan perkara ini dengan hujjah beberapa perwakilan di Majlis Perhimpunan UMNO yang ke 58 baru-baru ini. Diantara banyak perkara yang dibangkitkan ialah sifat suka pembaziran dan kurangnya sifat menyimpan untuk masa hadapan anak-anak dikalangan orang kita.
Cara berbelanja orang kita adalah macam tidak ada hari esok. Bak kata orang Kedah mereka berbelanja sakan. Sedangkan sifat menyimpan adalah penting terutamanya bila anak-anak kita masih kecil Adakah si Bala akan berbelanja sakan? Tentunya tidak. Sebab itu wang simpanannya banyak.
Kita dapati ramai dikalangan orang melayu yang suka makan di kedai-kedai. Dekat rumah saya di Gombak selalu saya nampak keluarga yang ibu bapanya masih muda dengan anak-anak kecil mereka kedapatan makan dikedai tom yam. Si Bala tentunya tidak akan berbuat demikian. Kerana makan diluar tentunya lebih mahal dari makan dirumah. Dan kalau selalu makan diluar tentunya keluarga tersebut tidak akan dapat menyimpan semasa anak-anak mereka masih kecil. Ini adalah berlawanan dengan prinsip si Bala. Tentunya bila anak-anak mereka mula bersekolah nanti mereka akan menghadapi masaalah kewangan. Tambahan pula mereka berkemungkinan besar tiada atau ada sedikit saja wang simpanan.
Begitu juga kedapatan rumah setengah orang kita yang nampaknya agak usang. Tapi penghuninya tidak mahu ketinggalan. Mahu juga Astro walaupun mereka mungkin harus mempunyai keutamaan yang lain yang lebih penting. Seperti makanan-makanan yang lebih berzat untuk membina otak anak-anak mereka yang masih kecil itu. Barang-barang kemas dan sofa yang cantik itu bukanlah keutamaan. Si Bala tidak akan berbuat demikian.
Baru-baru ini saya kebetulan terjumpa dengan si Bala. Rambutnya sudah puteh. Dari air mukanya ia menampakkan seorang yang puashati dan gembira dengan hidupnya. Dua dari tiga orang anaknya sedang belajar di peringkat kolej. Dia memberi tahu saya bila ia behenti kerja dahulu ia menggunakan duit simpanannya itu untuk membayar flat kos rendah. Ia kemudiannya bekerja dengan majikan lain. Ia memberitahu saya bahwa beberapa tahun yang lalu ia telah selesai membayar flat kos rendah tersebut.
Saya ingin bertanya disini adakah dikalangan anda suami isteri yang sama-sama graduan dan mempunya anak kecil katakanlah tiga orang (sama seperti Bala) dapat mengalahkan si Bala , seorang pemandu, yang mempunyai wang simpanan dua belas ribu ringgit? Jika jawapannya ya, baguslah. Anda akan selamat. Jika jawapannya tidak, masih belum terlambat.
IKUTLAH PRINSIP SI BALA!!!
1 comment:
amat mengkagumkan semangat yang ditunjukkan Bala, cerita ini memberi inspirasi kepada saya sebagai generasi muda untuk lebih berjimat cermat. Jika Bala mampu melakukannya dengan gaji yang kecil, saya juga mampu :)
Post a Comment