KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk mengembangkan pembangunan perbankan Islam sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara ini telah berjaya membangunkan perbankan Islam sejak 30 tahun lalu sambil mengekalkan sistem perbankan konvensional.
"Kita perlu mempromosikan perbankan Islam kerana ia adalah teras kepada masa depan negara-negara Islam.
"Negara-negara Islam wajar meneruskan peranan penting dalam melakukan transformasi sektor ini yang sebelum ini dikenali perbankan yang boleh diterima sebagai pusat kestabilan ekonomi jangka panjang untuk dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Forum Ekonomi Islam Dunia di sini hari ini.
Tegas beliau, untuk itu, rangka kerja perundangan, infrastruktur dan strukturnya perlu diselaraskan bagi mempromosi pasaran modal Islam.
Tambahnya, perbankan dan kewangan Islam perlu sistematik dengan pembabitan semua negara Islam untuk memastikan ia diterima sebagai sebuah 'perbankan beretika'.
Najib berkata, sekarang adalah masa terbaik kerana perbankan Islam menyaksikan peningkatan dengan beberapa negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10 hingga 15 peratus setahun.
Pertumbuhan itu adalah hasil galakan dan sokongan kukuh di kalangan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
"Memperkasakan ekonomi negara-negara adalah kritikal bagi mencapai matlamat kestabilan melalui kemakmuran .
"Kita memerlukan akses untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan kewangan Islam boleh membiayai semua, daripada usahawan kecil melalui pembiayaan mikro hingga syarikat-syarikat besar melalui instrumen moden seperti modal pasaran Islam," ujarnya.
Berikutan itu, Najib menyeru semua sektor swasta mengambil inisiatif menggunakan modal melalui inisiatif ekuiti Islam dari sumber global dan serantau serta menggunakannya secara produktif bagi memastikan ia mampu memberikan pulangan kepada para pelabur.
No comments:
Post a Comment