|
|
KOTA BHARU 9 Mei – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, berangkat balik ke Istana Mahkota petang ini.
Kepulangan itu sehari sebelum Mahkamah Khas dijadual bersidang untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga putera ketiga baginda bagi pihak Sultan Kelantan supaya baginda dibawa keluar dari hospital itu.
Baginda yang memakai baju batik berwarna coklat muda ditemani Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berangkat kira-kira pukul 5 petang dengan kawalan ketat polis dan tiba di Istana Mahkota 10 minit kemudian.
Tuanku Ismail Petra kelihatan berada dalam keadaan sihat ketika disorong dengan kerusi roda menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Berikutan itu, kawalan ketat daripada pihak polis termasuk menggunakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk menjaga keselamatan baginda ditarik balik.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Hamid Hamad ketika dihubungi berkata, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra telah memperkenankan supaya ayahanda baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota.
No comments:
Post a Comment