|
|
KOTA BHARU 9 Mei – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ceria sebaik sahaja tiba di Istana Mahkota selepas berangkat balik daripada menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini petang ini.
Pakar Perubatan Sultan Kelantan, Dr. Amir Ramli berkata, baginda sememangnya berhasrat untuk pulang ke istana sejak dibawa ke hospital berkenaan Selasa lalu.
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di istana, ungkapan pertama yang terkeluar daripada mulut baginda ialah ‘saya bebas’.
“Ketika tiba, doa selamat diadakan bagi memohon supaya baginda selamat dan cepat sembuh, selepas itu baginda dihidangkan dengan ais krim kegemarannya dan baginda kelihatan cukup gembira.
“Saya dan kakitangan istana yang lain telah melakukan persiapan secepat mungkin sebaik sahaja dimaklumkan oleh Raja Perempuan Kelantan bahawa baginda akan berangkat balik pada pukul 5 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra berkenan supaya ayahanda baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota selepas enam hari dirawat di HUSM.
Tengku Muhammad Faris memberikan perkenan tersebut selepas melihat keadaan Sultan Kelantan yang semakin stabil.
Dr. Amir berkata, buat masa sekarang pihak Istana Mahkota masih belum memutuskan sama ada akan meneruskan rawatan susulan ke Singapura seperti yang dirancang sebelum ini.
‘‘Pada masa ini, kami ingin memastikan baginda mendapat rehat secukupnya dahulu dan kembali stabil seperti dahulu.
“Selepas ini Tuanku Ismail Petra akan mendapat rawatan daripada beberapa doktor yang merawat baginda di Istana Mahkota sebelum ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment