11 May 2010
'Saya diliwat tanpa kerelaan'
Saksi utama pihak pendakwaan itu yang diminta oleh peguam bela Karpal Singh untuk membacakan laporan polis tersebut menyatakan, antara kandungan laporan itu menyebut bahawa dia telah diliwat oleh majikannya iaitu Anwar.
Laporan itu juga menyatakan dia mengambil tindakan sedemikian untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan serta demi keselamatan diri dan keluarga jika perkara itu tersebar di khalayak ramai.
Terdahulu, dalam keterangannya, Mohd. Saiful Bukhari memberitahu, dia memaklumkan kepada seorang pegawai polis, Asisten Komisioner Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof yang dia telah diliwat oleh Anwar beberapa kali.
Menurutnya, perkara itu diberitahu semasa dia menemui Mohd. Rodwan (kini Ketua Polis Melaka) di Hotel Melia, Jalan Imbi pada 24 Jun 2008 selepas pegawai polis itu menelefonnya.
Karpal Singh (KS): Untuk tujuan apa (pertemuan)?
Mohd. Saiful Bukhari (MSB): Pada masa itu dia tak kata tujuan apa, dia nak tahu apa masalah yang saya hadapi.
KS: Tak kenal dia sebelum 24 haribulan?
MSB: Tidak.
KS: Jumpa dengan Mohd. Rodwan selepas jumpa Perdana Menteri?
MSB: Ya.
Mohd. Saiful Bukhari berkata demikian pada hari pertama pemeriksaan balas peguam bela terhadap saksi tersebut selepas perbicaraan kes liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tertangguh sejak tiga bulan lalu.
Dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, pemuda berusia 25 tahun itu menyatakan, dia tidak pasti bagaimana pegawai polis itu mendapat nombor telefonnya dan siapa yang mengarahkan Mohd. Rodwan menemuinya.
Terdahulu, Mohd. Saiful Bukhari berkata, dia ada menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) di kediaman beliau di Taman Duta, di sini pada 24 Jun 2008.
Menurutnya, dia berjumpa Najib untuk mengadu kepada pemimpin tersebut tentang masalah yang dihadapinya.
Anak sulung kepada dua beradik itu memberitahu, selepas tarikh tersebut, dia langsung tidak menemui Najib dan dia juga mengakui tidak pernah berjumpa dengan isteri pemimpin berkenaan.
Jelas beliau, apa yang diberitahu kepada Perdana Menteri adalah apa yang terjadi sebelum 26 Jun 2008.
Dalam keterangannya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berkemeja biru dan memakai kot warna gelap turut memberitahu, dia mengenali seseorang bernama Mumtaz sejak kecil sebagai rakan keluarganya.
Pada prosiding hari ini juga, tidak sampai setengah jam mahkamah bersidang, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan senarai saksi pendakwaan.
Ia adalah ekoran, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memutuskan bahawa tidak menjadi satu keperluan untuk pihak pendakwa membekalkan senarai tersebut memandangkan ia bukan antara dokumen yang termaktub di bawah Seksyen 51A Akta Keterangan.
Hakim tersebut memutuskan demikian selepas Karpal dalam tempoh tidak sampai lima minit mahkamah bermula, membuat bantahan terhadap tindakan pihak pendakwaan tidak membekalkan senarai saksi kepada mereka.
Tindakan tersebut, dakwanya, bukan sahaja disifatkan sebagai taktik untuk menyerang hendap pihak pembelaan tetapi juga satu konspirasi politik.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden ketika memaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan itu menyatakan, beliau tidak nampak sebarang hubung kait senarai saksi dengan sesi soal balas Mohd. Saiful Bukhari.
Beliau turut menyatakan, melalui keterangan saksi utama itu sendiri, pihak pembelaan seharusnya sudah sedia maklum individu-individu yang akan dipanggil memberi keterangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment