25 March 2009

Beri Saya Saf Padu - Najib



Najib Tun Razak bersama pemimpin ketiga-tiga sayap parti (dari hadapan, kiri) Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Noraini Ahmad (duduk) melaungkan 'Hidup Melayu' pada majlis perasmian persidangan serentak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi. Turut hadir Setiausaha Agung umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – utusan


KUALA LUMPUR 24 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu barisan kepimpinan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi untuk bersama-sama beliau meneruskan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat.

Dalam ucapan yang ringkas tetapi sarat dengan pesanan dan peringatan, Timbalan Presiden UMNO itu juga mahu kepimpinan beliau sebagai Presiden parti kelak disokong oleh sekumpulan pemimpin yang ampuh dan padu.

Kata Najib, amanah yang dipikul oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserahkan kepadanya dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara.

Oleh itu, katanya, tergalas di bahu beliau satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia UMNO membela untung nasib rakyat.

Justeru, beliau berharap permuafakatan yang terjalin antara tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri – dapat diteruskan sementara sokongan yang sama turut diberikan oleh ahli-ahli UMNO kepada bakal Timbalan Presiden yang baru kelak.

“Dengan penuh semangat saya yakin bahawa jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ucapan yang fokus kepada peranan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO itu dimulakan dengan menyentuh jatuh bangunnya ahli-ahli ketiga-tiga pergerakan itu untuk berfungsi sebagai nadi perjuangan parti.

Dalam ucapan tersebut, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan dirinya bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwaris beliau itu telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung.

Beliau menamakan satu persatu tokoh negara bermula dengan Datuk Onn Jaafar, diikuti oleh Tunku Abdul Rahman, seterusnya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disifatkan oleh beliau sebagai amat berbakti kepada negara.

Najib turut melahirkan rasa hiba kerana persidangan kali ini adalah yang terakhir bagi beliau sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan tiga sayap parti itu selepas lebih 33 tahun bersama.

“Alangkah hiba rasanya malam ini saya berdiri di hadapan saudara-saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara,” katanya.


DRT: Didoakan Perhimpunan UMNO tahun akan memberikan satu barisan pemimpin yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi serta ampuh dan padu supaya dapat membantu Presiden UMNO yang baru meneruskan perjuangan parti keramat ini. Dengan ini akhirnya masyarakat Melayu bertambah maju , kukuh dan berjaya dalam bidang ekonomi, pendidikan, teknologi dan lain-lain bidang yang strategik untuk masa depan orang Melayu.

No comments: