4 March 2009

Orang Asli Jakun usahawan minyak gaharu

Oleh Kamarul Irwan Alias
MUADZAM SHAH, 3 Mac -- Bermula dengan hanya mencari kayu gaharu di hutan, Kamahudin Ang Sew Siang, Orang Asli dari suku kaum Jakun dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik dekat sini, kini menguruskan syarikat pengeluar minyak gaharu berdaftar pertama di negara ini.

Kamahudin, 45, Pengarah Kedaik Agarwood Sdn Bhd, boleh berbangga kerana usaha beliau itu bukan hanya mampu meningkatkan pendapatan, malah menjadikan tradisi mencari hasil hutan masyarakat Orang Asli sebagai satu bidang komersil.

Manakan tidak, minyak gaharu yang mendapat permintaan tinggi di pasaran terutama daripada negara timur tengah, Taiwan dan China bagi pembuatan minyak wangi dan produk kesihatan mampu dijual sehingga mencecah harga RM100,000 sekilogram bergantung kepada kualitinya.

Ia jauh berbeza berbanding penjualan kayu gaharu tidak diproses yang mempunyai harga pasaran sehingga RM10,000 bagi kayu berkualiti tinggi.

TITISAN PERTAMA

Kamahudin berkata, berdasarkan pengalamannya yang sering ke hutan bersama-sama penduduk Orang Asli lain sejak 20 tahun lepas, mereka hanya mencari kayu gaharu yang berkualiti tinggi untuk dijual iaitu dari gred A.

Beliau yang berpendidikan sekolah menengah berkata walaupun harga bagi kayu gaharu tidak diproses itu boleh membawa pulangan lumayan kepada penduduk Orang Asli, namun ia agak sukar ditemui.

Bapa kepada enam anak berumur enam hingga 20 tahun itu berkata, kesukaran memperoleh gaharu berkenaan menyebabkannya beralih arah mendalami bidang pembinaan sebelum memperoleh lesen kontraktor kelas F.

"Bagaimanapun lawatan saya bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kedaik anjuran Pejabat Anggota Parlimen Rompin pada 29 Julai 2006 ke agensi-agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Kuala Lumpur telah membuka mata saya terhadap potensi sebenar kayu gaharu", katanya kepada Bernama di sini.

Kamahudin, yang juga Pengerusi JKKK Kedaik berkata, pertemuannya dengan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr Daud Mohamad pada satu majlis makan malam telah merintis kepada pembukaan kilang pengeluaran minyak gaharu syarikat berkenaan.

Katanya, setelah mengikuti kursus selama setahun, kilang yang dibangunkan di tapak seluas 0.44 hektar (satu ekar) melalui Dana Inovasi Komuniti (CIF) MOSTI berjumlah RM500,000 kepada JKKK Kedaik itu mula beroperasi pada 8 Ogos tahun lepas.

"Pada hari itu jugalah titisan pertama minyak gaharu diperoleh dan ia telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai cenderahati ketika saya mengunjungi bangunan Parlimen pada 10 Dis lepas", katanya.

PROSES PENGHASILAN MINYAK

Beliau berkata, proses penghasilan minyak gaharu itu mampu memberi banyak manfaat kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara kerana mereka tidak lagi perlu bergantung kepada pencarian gaharu berkualiti tinggi semata-mata.

Katanya, kilangnya turut memungut kayu gaharu sehingga gred D pada harga bawah RM10 sekilogram daripada masyarakat Orang Asli.

"Kita bukan hanya memperoleh bekalan daripada hutan sekitar Rompin, malahan Johor, Negeri Sembilan dan Perak sebelum ia dipotong menjadi cebisan kecil oleh golongan ibu yang secara tidak langsung mendapat pendapatan tambahan", katanya.

Kemudian katanya, kayu berkenaan akan dijemur antara tiga hingga empat hari sebelum dikisar dan diperam dalam tempoh lima hari hingga dua minggu.

Kamahudin berkata, ia kemudian akan menjalani proses pemanasan di dalam 20 relau yang setiap satunya mampu menghasilkan sehingga 20 gram minyak gaharu yang akan dikutip setiap dua hari.

HASIL

Pada masa ini katanya, kilang dengan tujuh pekerja tetap itu telah menghasilkan lebih 6 kg minyak gaharu pelbagai gred bernilai kira-kira RM400,000 dengan kebanyakan hasil kilang berkenaan dijual di pasaran tempatan melalui kerjasama bersama sebuah syarikat swasta.

Selain itu katanya, beberapa ahli perniagaan negara timur tengah khususnya dari Oman dan Kuwait telah menunjukkan minat terhadap produknya.

Malah Kamahudin berkata, hasil buangan daripada proses berkenaan juga mempunyai nilai tersendiri apabila ia boleh digunakan untuk pembuatan colok dan setanggi.

Air yang digunakan ketika proses pemanasan juga boleh digunakan untuk tujuan mandi spa, katanya.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk mengembangkan bidang terbabit khususnya dari segi pengeluaran dan pengekalan sumber pokok gaharu melalui tanaman secara komersil.

Katanya, penggunaan berterusan sumber hutan bukan hanya menjejaskan alam sekitar malah mampu menyebabkan kepupusan pokok gaharu.

PERUBAHAN

Sementara itu, salah seorang ahli lembaga pengarah yang juga penyelia di syarikat berkenaan, Mat Chantek, 46, berkata kehidupannya kini telah berubah secara mendadak kerana tidak lagi bergantung pada pekerjaan tradisi.

Beliau yang dahulunya mencari ikan dan kayu gaharu sebagai punca pendapatan kini telah menceburi bidang perniagaan.

"Kalau dulu kita masuk hutan sampai dua minggu, kalau tidak dapat gaharu berkualiti, kita terpaksa berhutang dengan taukeh (peraih), lepas rehat seminggu, kita masuk hutan balik", katanya.

Mat, yang digelar "doktor" oleh rakan-rakannya sebagai gurauan berikutan tugasnya yang bertanggungjawab mengasingkan minyak gaharu dari air sebagai proses akhir bagi menghasilkan minyak gaharu bermutu bak seorang saintis, berharap masyarakat Orang Asli akan mengubah cara hidup mereka dan merebut peluang yang ada bagi meningkatkan taraf hidup.

"Peluang (pasaran) sudah ada, mereka boleh mengusahakan tanaman gaharu di belakang rumah mereka sekaligus menjana pendapatan", katanya.

-- BERNAMA

No comments: