KUALA LUMPUR 29 Mac - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) berharap dapat memulakan Program Siswazah Perantisnya pada bulan Mei dan menjelang akhir tahun, 2,000 perantis dapat mengikuti program mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nasir Ahmad berkata, pada waktu ini PUNB sedang memperkemaskan modul dan syarat program sebelum menawarkan kepada siswazah yang sedang menganggur.
''Kami menjangkakan pada pertengahan April, PUNB akan mula menemuduga calon-calon siswazah yang berminat untuk menyertai program ini dan pada bulan Mei, kami akan mula menghantar mereka menjalani latihan.
''Latihan tersebut akan dibahagi kepada dua tempoh antara enam bulan atau setahun mengikut kesesuaian program yang dipilih siswazah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Tambah Nasir, PUNB akan mempelawa graduan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap memohon untuk menerima latihan daripada syarikat-syarikat di bawah PUNB.
''Kami mempunyai 1,600 syarikat yang boleh menawarkan latihan kepada graduan ini. Mereka akan didedahkan dengan selok belok perniagaan dan pengurusan syarikat bagi mencerahkan peluang mereka memasuki pasaran kerja.
''Selain mendapat latihan yang disediakan, graduan berpeluang menerima elaun bulanan sepanjang program sehingga tamat mengikut syarat yang akan dijelaskan,'' katanya.
Program Siswazah Perantis PUNB, merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan kedua yang dibentangkan pada 10 Mac lalu di bawah program siswazah sangkut.
Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta kepada PUNB untuk menyediakan latihan kepada siswazah menganggur yang ditawarkan sebanyak 2,000 tempat dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran negara.
Antara syarat utama bagi pemohon adalah bumiputera berumur tidak melebihi 30 tahun, mempunyai ijazah, diploma atau sijil kemahiran yang diiktiraf dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Selain itu, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang kurang mampu dan yang berminat untuk menjadi usahawan.
Katanya, sebahagian daripada proses latihan mereka yang telah mendapat tempat untuk mengikuti program ini akan dikumpulkan bagi mendapatkan latihan teori dalam tempoh dua hari.
''Kemudian setelah menerima latihan selama dua bulan di syarikat-syarikat PUNB, bagi mereka yang berminat untuk menjadi usahawan akan diberikan kursus percuma yang bersesuai dengan mereka.
''Selepas tamat tempoh program siswazah perantis, mereka yang ingin membuka perniagaan akan dibantu oleh PUNB. Manakala bagi yang tidak berminat untuk menjadi usahawan, kemungkinan besar mereka akan bekerja dengan syarikat pelatih adalah lebih cerah,'' jelasnya. Utusan Malaysia
DRT: Kita sudah lama dengar mengenai skim latihan oleh PUNB ini. Sejak dari tahun 90an lagi perkara ini telah dimulakan. Hasilnya tidak pula dihebahkan. Saya tidak lah sinis tapi saya rasa seorang usahawan tidak dapat dilahirkan melalui kursus selama dua bulan. Begitu juga seorang pengurus besar tidak boleh di lahirkan dengan menghadiri kursus dua bulan walaupun di Universiti2 Oxford atau Harvard.
Process menjadi usahawan ini mengambil masa. Perlu pengalaman. Samada berkerja di bank, syarikat eltronik, kilang, universiti, syarikat korporat atau pun bermula dari perniaga kecil. Seorang doktor contohnya yang ingin membuka klinik perlu berpengalaman dalam profesionnya untuk sekurang-kurangnya lima tahun dan tahu sebanyak sedikit mengenai pengurusan samada dari segi kewangan, pemasaran, perancangan dan sebagainya.
Janganlah projek PUNB ini seperti yang sudah-sudah sebagai melepaskan batuk ditangga. Wang peruntukan RM50 juta adalah amat besar sekali. Jangan mereka yang mengendalikan kursus-kursus ini saja yang akhirnya mengaut keuntungan. Peserta-peserta hanya hanya melalui prosesnya dan tidak ada apa-apa yang di pelajari.
No comments:
Post a Comment