Dalam Malaysiakini beberapa hari lalu ada membuat liputan berita mengenai Anwar Ibrahim sibuk berkempen di negeri Melaka memperjuangkan reformasi politiknya. Satu dari isu yang diperjuangkannya ialah mengenai nasib penternak babi di Melaka yang nyata telah mengotorkan air sungai dekat tempat tinggal perkampungan orang Melayu. Tempat penternakan babi seperti di Paya Mengkuang, Bukit Beruang dan Man Lok dekat Masjid telah lama menjadi mimpi ngeri buat orang Melayu. Isu penternakan babi ini amat menimbulkan kemarahan orang Melayu Melaka kerana ia berbau busuk dan mencemarkan air sungai.
Kemudian datang pula seorang ahli politik Melayu ini dari PKR lalu ia secara tegas memperjuang dan membela nasib penternak-penternak babi tersebut. Sejak bila pula ia jadi jaguh penternak babi? Tentunya orang Melayu Melaka menjadi amat heran dengan perubahan yang berlaku pada diri Anwar kerana permulaan perjuangannya pada tahun 1969 dahulu adalah amat berbeza sekali dari sekarang. Adakah perjuangannya sekarang ini lebih berupa matlamat menghalalkan cara. Ia akan menggunakan dan memainkan apa juga isu supaya ia dapat sokongan dan akhirnya menjadi Perdana Menteri seperti yang diidamkannya.
Sekiranya kita singkap sejarah hidup Anwar kita dapati selepas trajedi 13 Mei 1969 dia adalah pejuang nasionalis Melayu. Di kampus Universiti Malaya dia memperjuangkan isu-isu Bahasa Melayu. Pada masa itu dia adalah Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan kuat memperjuangkan soal-soal yang bersangkutan dengan Bahasa Melayu.
Kemudian ia aktif pula dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan kemudiannya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Ini diikuti pula dengan penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)pada tahun 1971 yang cogan katanya ialah 'Hidup Biar Berjasa'. Dalam fasa ini Anwar bergerak atas landasan perjuangan keislaman.
Pada masa itu beliau juga bergerak dalam Majlis Belia Malaysia (MBM). Antara perjuangannya ialah untuk memprotes kejatuhan harga getah dan kebuluran yang dikatakan terjadi di Baling, Kedah.
Selepas itu bila Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, Anwar telah dipujuk untuk masuk UMNO. Anwar akhirnya pada tahun 1982 masuk UMNO walaupun terdahulu ia telah menyuruh kawan-kawannya seperti Subky Latif untuk memasukki PAS dengan mengatakan ia akan mengikut mereka kemudiannya.
Dalam UMNO Anwar naik mendadak. Dalam jangkamasa sebelas tahun ia telah naik pangkat dari seorang Timbalan Menteri pada tahun 1982 sehingga jadi Menteri Kewangan (1991) dan kemudiannya Timbalan Perdana pada tahun 1993.
Tapi apa legasi yang Anwar tinggalkan semasa menjadi Menteri di beberapa Kementerian yang diterajuinya seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pertanian; Pendidikan dan akhirnya Kewangan? Pada saya tiada apa-apa yang ketara yang dapat kita lihat di Kementerian-kementerian tersebut. Tidak seperti misalnya Datuk Seri Najib yang semasa menjadi Menteri Pendidikan antara lain telah memperkenalkan Kediaman (Quarters) Perguruan di serata negara.
Anwar lebih merupakan seorang yang lebih retorik. Cuba perhatikan cara Ucapan Belanjawannya setiap tahun. Ia lebih menjurus kepada keindahan bahasa dan sastera dan bukannya satu ucapan mengenai dasar ekonomi negara yang penting.
Kebelakangan ini pula ia memperjuangkan nasib penternak babi. Agak aneh Anwar berkelakuan begini hanya untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina. Memang jelas ia sudah hilang pertimbangan dalam politiknya. Ini amat menyedihkan. Dari seorang pejuang bahasa, pejuang belia Islam, pejuang menentang kemiskinan rakyat desa sekarang sudah menjadi pejuang mereka yang memelihara babi. Kita sedia maklum kerajaan Singapura pun telah mengharamkan pemeliharaan babi di Republik tersebut oleh sebab kecemeran yang dibawa oleh ladang babi ini . Ini pula seorang Melayu yang menjadi jaguh isu ini. Alangkah penuh ironinya.
Jadi tidak hairanlah bila Datuk Hj Nik Abdul Aziz, Mursyidul PAS dan Menteri Besar Kelantan tidak mahu berkerjasam dengan PKR. Katanya PKR adalah sebuah parti yang bercelaru. Pada saya sebuah parti dikatakan bercelaru adalah kerana ia tidak menentu arah perjuangannya. Kalau PKR begitu patutkah ia mendapat sokongan orang Melayu? Tentu sekali tidak.
Apa pula reaksi Penasihat PKR, Anwar Ibrahim terhadap komen ini? Kalau ia senyap saja bererti ia mengakui kebenaran kenyataan Nik Aziz itu. Kita tunggu dan lihat.
No comments:
Post a Comment