Banyak persoalan dalam kepala saya mengenai PKR pimpinan Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum (PMU) ke 12 yang akan datang ini.
Pertamanya apakah asas perjuangan PKR untuk kemajuan orang Melayu dalam lapangan ekonomi. Apa rancangan mereka memperbanyakkan jumlah usahawan Melayu? Mungkin disini Tan Sri Khalid Ibrahim boleh memberikan rangka program mereka dalam pembangunan usahawan kerana beliau sendiri pernah berkhidmat di Pembangunan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)?
Keduanya apakah yang Anwar Ibrahim dapatkan dari kaum Cina yang beliau sangat rapat itu yang boleh mengguntungkan orang Melayu. Seperti misalnya mendapatkan peniaga Cina benar-benar bersedia memberi bantuan kepada peniaga Melayu samada dari segi peluang perniagaan atau latihan dan didikan selok-belok perniagaan. Dalam kontrak sosial kita semasa Merdeka pada tahun 1957 kaum Cina berjanji membantu orang Melayu dalam lapangan ekonomi sebagai balasan (quid pro quo) mereka diberikan kerakyatan negara ini. Dan sejak dari hari pertama Merdeka lagi mereka tidak menunaikan janji mereka. Kalau Anwar boleh dapatkan hal demikian sungguh besarlah jasanya kepada usahawan Melayu. Tapi kalau sebaliknya orang Melayu seperti Anwar Ibrahim pula yang sanggup merosakkkan masa depan kuasa politik orang Melayu, oleh sebab dendamnya yang mendalam terhadap UMNO kerana beliau disingkirkan keluar dari UMNO oleh Dr Mahathir pada tahun 1998, dan sanggup berkerjasama dengan musuh-musuh orang Melayu seperti parti DAP maka orang Melayu tidak akan menyanjungi maknusia pengkhianat sepertinya.
Apakah perjuangan Anwar untuk orang Melayu? Yang saya nampak tiada. Apakah dengan menghancurkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperjuangkan oleh Allahyarh am Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia yang Kedua selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969 akan menguntungkan orang Melayu? Kita akui DEB ada kekurangannya. Tapi soalnya siapa yang lebih mengaut keuntungan dari program-program DEB selama ini? Bangsa Melayu ke atau kaum Cina? Statistik jelas menunjukkan bahawa kaum Cina telah menambahkan penguasaan mereka dalam ekonomi dari 20% ditahun 1970 kepada lebih kurang 60% pada hari ini . Tapi Anwar saja tidak menghebahkan perkara ini. Jadi apa alasan Anwar untuk menghapuskan DEB itu?
Apa bunyi-bunyi yang selalu kita dengar dari PKR? Tian Chua seorang yang bersifat terlalu kurang ajar itu yang lebih ketara. Samada tindakannya merempuh sekatan Polis atau tindakannya mengigit tangan seorang Polis Melayu. Apa tujuannya? Pada saya ini menampakkan sikap chauvanis perkauman Cina yang mendalam yang tidak hormat langsung kepada orang Melayu dikalangan orang-orang Cina yang mengelilingi Anwar Ibrahim dan Khalid Ibrahim dalam PKR. Jadi bolehkah kita menyokong parti PKR? Jawapannya tentulah tidak boleh kerana parti tersebut tidak boleh menjaga kepentingan orang Melayu. Anwar nyata sesangat mengharapkan sokongan orang Cina yang pada fikirannya akan berpihak kepadanya. Tapi ia lupa asas perjuangannya adalah sokongan orang Melayu. Nanti yang dikejar tidak dapat dan yang digendong berciciran! Orang Cina pula adalah satu kaum yang praktikal. Mereka tidak akan menyokong satu parti yang tidak tentu asas perjuangannya.
Sekarang ini Anwar juga sibuk kesana kemari berkempen di kalangan orang India menyokong perjuangan Hindraf. Hatta dia pun ada pergi ke India (Tamil Nadu agaknya ) untuk meraih sokongan kaum India kepada partinya. Malang bagi Anwar, kawan tennis lamanya, Datuk Nalakarupan secara terus terang mengatakan dalam satu kenyataannya bahawa sepanjang beliau berkawan dengan Anwar selama 20 tahun dia tidak pernah melihat Anwar begitu hendak menolong kaum India semasa ia seorang Timbalan Perdana Menteri dahulu. Ternyata kempen Anwar hanyalah untuk memancing undi untuk Pilihan Raya yang akan datang ini.
Bak kata pepatah kita boleh menipu sekumpulan orang pada satu masa tapi kita tidak boleh menipu semua orang pada semua masa!!
No comments:
Post a Comment