9 January 2008

APA TANGGUNG JAWAB IBU BAPA DALAM MENJAGA AGAMA DAN KEIMANAN ANAK-ANAK MEREKA?

Umum mengetahui fenomena yang agak mengejutkan iaitu terdapatnya muda mudi kita yang sibuk bekeliaran di pasar-pasar hypermarket dan supermarket sedangkan ketika itu adalah waktu Maghrib. Yang gadisnya bolehlah kita bagikan mereka 'the benefit of the doubt'. Mungkin ketika itu mereka sedang dalam cuti bulanan mereka. Tapi bagaimana pula dengan pemuda-pemuda yang berkeliaran itu? Adakah mereka juga ada uzur sharie yang membolehkan mereka tidak perlu bersembahyang?

Ada dua kemungkinan dalam hal ini. Pertama mereka adalah musafir yang datang dari luar kawasan yang jauh (outstation). Kalau begitu mereka memang dibolehkan untuk melakukan sembahyang jamak kasran iaitu membawa sembahyang Maghrib ke sembahyang Isyak kerana berada lebih dari dua marhalah (lebih kurang 120 km).

Kemungkinan kedua ialah mereka ini tidak tahu bagaimana untuk bersembahyang. Mereka kurang asas ilmu agama. Dalam keadaan yang kedua ini siapa yang harus disalahkan? Masyarakat, kerajaan atau ibubapa?

Dalam pengalaman saya sendiri semasa persekolahan saya ditahun-tahun 50an dan 60an infrastruktur sekolah agama di Selangor adalah lemah sekali. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang belajar di sekolah-sekolah aliran Inggeris. Keadaan ini sama dengan Negeri Melayu Bersekutu yang lain seperti Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. Negeri-negeri tersebut adalah dalam zaman peralihan dan pendidikan agama tidak ditekankan sangat.

Ia berbeza dengan keadaan di Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang cukup menitik beratkan pendidikan agama. Jadi kawan-kawan seangkatan dari negeri-negeri tersebut tentunya mempunyai asas pengetahuan agama Islam yang mendalam. Terpaksalah orang seperti saya mengisikan kekurangan-kekurangan kami mengenai pengetahuan agama dengan initiatif sendiri. Saya agak beruntung kerana isteri saya berasal dari negeri Kedah.

Bila perasaan keislaman bangkit semula diawal tahun-tahun 1970an banyaklah prasarana pendidikan agama Islam hidup dengan segar di negara kita keseluruhannya. Sekarang anak-anak kita di sekolah rendah kebangsaan boleh menghadiri sekolah agama kerajaan. Kalau mereka sekolah kebangsaan sesi pagi mereka boleh bersekolah agama di sebelah petang.

Dalam hal ini generasi anak-anak saya adalah bertuah. Mereka dibekalkan asas pengetahuan agama yang mendalam. Kalau mereka tidak menuruti dan menghayati agama Islam siapakah yang harus dipersalahkan?

Kerajaan telah menyediakan semua prasarana pendidikan agama. Jadi apa pula tanggung kita sebagai ibu dan bapa dalam penghayatan agama anak-anak kita? Saya masih ingat sebuah ayat Al Quran yang bermaksud: Seorang anak itu dilahirkan ibarat kain putih maka ibubapanyalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi. Sungguh besar tanggung jawab keibubapaan (parenting) kita. Sudahkah kita menjalankannya?

Napoleon juga pernah berkata 'There are no bad soldiers, only bad officers' Jadi kalau anak-anak kita tidak menghayati agama adakah kerana kita gagal mengawasi dan menyelia mereka dengan baik. Disinilah tingginya tanggung jawab kita sebagai khalifah dalam keluarga kita. Allah swt juga telah mengingatkan hambaNya dalam Kitab Suci Al Quran supaya kita menjaga dan mengelakkan ahli-ahli keluarga kita dari jatuh ke dalam api Neraka. Ini juga adalah satu ingatan yang harus kita ambil berat dan berbuat sesuatu supaya ia tidak berlaku.

Berbalik kepada anak muda yang berkeliaran di hypermarket dan supermarket itu kita harus bertanya di mana ibu bapa mereka? Lupakah mereka tentang tanggung jawab mereka keatas anak-anak mereka?


No comments: