Sudah enam hari Tun Mahathir mengumumkan yang ia keluar dari UMNO pada hari Sabtu lalu. Pada pemerhatian saya pemimpin dan ahli UMNO disemua peringkat masih setia kepada UMNO dibawah kepimpinan Pak Lah , Presiden parti tersebut.
Pemimpin-pemimpin UMNO dan juga pemimpin Badan-badan Bukan Kerajaan Melayu sedar bahawa melemahkan UMNO pada masa ini tidak akan menguntungkan kepentingan dan nasib masa depan orang Melayu.
Tidak ada tempat untuk kepentingan diri melebihi kepentingan parti dan masyarakat Melayu. Telah saya nyatakan lebih awal dalam blog ini , pemimpin datang dan pergi tapi parti UMNO dan kepentingan Melayu adalah yang kita utamakan.
Sekarang ini bukanlah masanya untuk melemahkan UMNO. Pada saya ia lebih merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggung jawab kerana yang rugi adalah bangsa dan agama selain ia menjejaskan negara.
Pada masa ini kita tidak ada alternatif lain. PKR bukan parti Melayu. PAS adalah komponan kecil dalam Pakatan Rakyat.
Cuma UMNO sahaja pada masa ini yang boleh diharap menjaga kepentingan orang Melayu. Itu sebabnya DAP mencuba sedaya upayanya melemahkan UMNO. Mereka telah berjaya di Perak. Walaupun Menteri Besarnya dari PAS tapi DAP yang dominan dengan mempunyai enam kerusi Exco dari jumlah keseluruhan sepuluh kerusi Exco Negeri Perak.
Jadi dari segi realitinya DAPlah komponan yang terkuat dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Pulau Pinang dan sebanyak sedikit di Selangor. Di negeri-negeri tersebut PAS hanyalah jadi nasi tambah sahaja.
Cuma di Kelantan dan Kedah dikuasai oleh PAS. Tapi negeri-negeri tersebut tidak boleh dibandingkan dengan kemajuann dan pencapaian negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak.
Jadi perbuatan Tun Mahathir keluar parti hanyalah akan melemahkan kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional.
Saya hanya ingin bertanya adakah kita mahu Kerajaan Pusat jatuh ke Pakatan yang jelas akan menonjolkan dominasi DAP dalam kerajaan tersebut nanti. Seperti yang berlaku di Selangor , Pulau Pinang dan Perak sekarang.
Kalau kita lihat Selangor portfolio penting dan strategik adalah dipegang oleh ahli Exco DAP seperti portfolio Perdagangan dan Perindustrian yang dulunya semasa kerajaan Barisan dipegang oleh MCA. Tapi DAP juga pegang Kerajaan Tempatan yang dulunya dipegang oleh UMNO. PAS cuma pegang portfolio Agama dan Infrastruktur.
Di Pulau Pinang dominasi DAP adalah jelas sekali. Peranan Timbalan Ketua Menteri dari PKR hanya menjaga Hal ehwal Agama. Peranan Timbalan Ketua Menteri dari DAP adalah lebih kuat lagi kerana menjaga Perancangan Strategik Kerajaan Pulau Pinang.
Di Perak seperti yang saya katakan lebih awal diatas memang jelas Exco Perak didominasi oleh DAP.
Memanglah ada kelemahan dalam parti UMNO. Begitu juga PKR , DAP dan PAS pun ada masalah masing-masing. Misalnya DAP adalah dikuasai oleh keluarga Lim Kit Siang. Pemimpin negeri yang tidak sebulu dengan keluarga Lim ini akan dipinggirkan.
Dalam DAP pun ada 'warlords'nya. Seperti Dato Ngeh, Ketua DAP Negeri Perak dan sepupunya Ngo, Setiausaha DAP Perak
Contoh pemimpin yang dipinggirkan ialah Teng Chang Khim bekas Pengerusi DAP Selangor yang telah menjadi Adun DAP sejak 1995 hanya menjadi Speaker Dewan Undangan Selangor walaupun beliau begitu senior. Ini kerana beliau tidak rapat dengan Lim Guan Eng , anak Lim Kit Siang , Setia usaha Agung DAP. Jawatan Exco kanan telah diberikan kepada Teresa Kok walaupun beliau hanya Adun penggal pertama.
PKR pula agak kurang jelas misi dan visinya selain hanya menjadi jentera untuk Anwar Ibrahim menjadi PM Malaysia. Ia jelas penuh dengan puak opotunis yang diperalatkan oleh DAP.
Dengan kemasukan Ezam kedalam UMNO semalam akan menjejaskan PKR kerana Ezam tahu kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam PKR. Ezam akan digunakan oleh UMNO sebagai senjata menyerang PKR. Umum mengetahui Anwar adalah bersifat diktator dalam hal ehwal parti PKR. Banyak yang setia kepada Anwar sejak zaman reformasi telah ketepikan jika mereka tidak sehaluan dengan Azmin Ali Naib Presiden PKR dan orang kepercayaan Anwar.
Jadi apa-apa kelemahan dalam UMNO harus ditangani dengan cepat , baik dan berkhemah supaya UMNO cepat di pulih dan jenamakan dengan misi dan visi parti dihalusi dan dikemaskinikan.
Program-program baru harus dibuat dengan cepatnya khas untuk tiga golongan iaitu rakyat luar bandar, generasi remaja pasca DEB dan orang Melayu di bandar.
Program-program itu mesti bermatlamat untuk menarik tiga golongan tersebut balik dan terus setia kepada UMNO.
Golongan rakyat luar bandar adalah penyokong setia UMNO dan hendaklah dijaga dan dibelai dengan baik oleh parti.
Generasi remaja pasca DEB juga perlu dihormati dan di tarik kedalam UMNO. Mereka adalah hasil dasar kerajaan BN tapi mereka bersifat kritikal terhadap UMNO. Mereka adalah profesional dan terpelajar dan akan menjadi aset jika dapat dibawa kedalam UMNO. Pada masa ini ramai mereka tidak kenal atau ada prasangka pada UMNO. UMNO kena fikirkan cara dan kaedah untuk memujuk golongan ini berpihak kepadanya.
Begitu juga dengan orang Melayu bandar yang harus dijaga dan dibelai dengan baik untuk memberikan sokongan mereka balik kepada UMNO. Golongan ini juga tradisinya adalah anti establishment. Kemungkinan bila pembangkang jadi kerajaan di lima negeri , mereka ini akan kembali kepada UMNO sekiranya kerajaan baru pembangkang tidak mengotakan janji-janji mereka semasa pilihan raya lalu.
Kesimpulannya UMNO perlu diperkuatkan dengan secepat mungkin kerana ia masih relevan untuk perjuangan orang Melayu.
No comments:
Post a Comment