20 September 2008

NGO : KENAPA TIADA TINDAKAN TERHADAP KARPAL

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan mengapa sehingga kini masih tiada tindakan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury tidak lama dahulu.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad berkata, setelah lebih empat bulan berlalu, timbul tanda tanya apakah pihak berkuasa memberi layanan dwi standard kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu hanya kerana beliau seorang peguam ternama.

Sedangkan katanya, jika dilihat tidak ada salahnya untuk mengatakan yang kenyataan Karpal itu adalah antara permulaan kepada tercetusnya beberapa kenyataan berunsur perkauman di negara ini selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-12.

‘‘MBM antara berbelas-belas pihak yang membuat laporan polis ke atas Karpal dan saya sendiri telah dipanggil untuk memberi keterangan tetapi nampaknya sehingga kini tiada tindakan ke atas Karpal.

‘‘Apa yang MBM harap kini ialah walau apa pun tindakan pihak berkuasa, biarlah ia mencakupi semua yang terlibat kerana jika tidak, rakyat akan terus gelisah dengan senario yang berlaku,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

No comments: