27 September 2008

PERALIHAN LEBIH AWAL - KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS MT UMNO SEMALAM

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
dan HERMAN HAMID
UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Peralihan kuasa yang dipersetujui antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlaku setahun lebih awal daripada pelan asal pada 2010.

Bagi membolehkan proses peralihan tersebut berjalan lancar, Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada Disember ini akan ditangguhkan kepada Mac depan.

Mesyuarat bahagian yang akan bermula 9 Oktober ini bagaimanapun diteruskan mengikut jadual.

Keputusan menangguhkan perhimpunan agung parti itu yang juga membabitkan pemilihan peringkat tertinggi dicapai pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Abdullah di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ditanya sebab penangguhan, Presiden UMNO itu berkata, ia bertujuan “mempermudahkan pelan peralihan kuasa lebih awal.”

“Kalau kita nak awalkan (peralihan), tidak adalah lagi original (pelan asal) 2010 itu... tak timbullah perkara itu,” kata Perdana Menteri ketika ditanya adakah pelan peralihan kuasa pada Jun 2010 akan dikekalkan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Mengulas keputusan MT meneruskan mesyuarat bahagian di sebalik desas-desus mengenai penangguhannya, Perdana Menteri berkata, ia bagi menghormati keputusan akar umbi dan mengelakkan timbul perbalahan.

“Itulah sebaik-baiknya kerana kita memegang dan menghormati keputusan yang telah dibuat, yang telah pun jelas dan semua pun bersedia untuk mengadakan mesyuarat masing-masing,” ujarnya.

Ketika diminta menjelaskan maksud peralihan kuasa awal, beliau berkata: “Ia adalah untuk membuat penyerahan segala apa juga yang diperlukan, peraturan-peraturan apa yang hendak saya laksanakan nanti. Apa juga dengan ini akan diputuskan antara saya dan Najib.”

Ditanya adakah ini bermakna beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac depan, beliau memberitahu, pengumuman mengenai keputusannya akan dibuat sebelum mesyuarat bahagian bermula pada 9 Oktober ini.

Abdullah bagaimanapun menyangkal andaian bahawa keputusan melaksanakan pelan peralihan kuasa lebih awal dibuat kerana menerima banyak tekanan termasuk daripada anggota MT.

“Tidak. Tidak ada kena-mengena semua itu. Ia semua berhubung kait dengan kerja saya. Bila kerja habis, habislah,” katanya.

Menurut Abdullah, tidak ada sebab anggota MT mengenakan tekanan untuk beliau melepaskan jawatan, malah perkara itu tidak langsung ditimbulkan pada mesyuarat hari ini.

Perdana Menteri turut menolak kemungkinan bercuti lebih awal ekoran perubahan pelan peralihan kuasa itu.

“Saya akan bercutikah? Tak tahu pula. Macam mana awak tahu? Tidak, tidak... saya tak akan bercuti. Saya ada banyak kerja hendak dibuat,” katanya.

Abdullah yang ditanya kesediaannya melakukan pengorbanan besar dengan mengundur diri demi kebaikan UMNO menegaskan, beliau sayangkan parti itu dan tidak akan sekali-kali meninggalkannya biarpun dalam keadaan sukar.

“Saya tidak pernah tinggalkan parti, saya tidak menyertai UMNO 46 (Semangat 46), saya tidak sertai parti lain, malah saya tidak pernah berada atas platform pembangkang untuk menentang UMNO.

“Tidak ada rekod saya menentang parti pada bila-bila masa pun,” tegasnya.

Ditanya sama ada UMNO mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Presiden selama tiga penggal seperti yang diamalkan MCA ketika ini, beliau berkata, parti itu tidak mempunyai rancangan untuk berbuat demikian.

No comments: