Malaysiakini |
Jimadie Shah Othman | Sep 24, 08 3:50pm |
Pemuda PAS menafikan ahli-ahli parti itu terikut-ikut dengan rentak PKR sehingga lebih meyakini usaha penggantian kerajaan oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding nasihat pemimpin mereka sendiri. Rentetan pergeseran terbuka tokoh-tokoh PAS terhadap projek 16 September anjuran Anwar, ahli-ahli parti Islam seumpama itu khususnya anak muda dikritik sebagai "berbadan PAS tetapi berbaju PKR". Kritikan keras mursyidul am PAS kepada pesuruhjaya Terengganu, Datuk Mustafa Ali minggu lalu berhubung projek Anwar itu didakwa menunjukkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "lebih tebal fanatiknya" terhadap penasihat PKR berbanding semangat mempertahankan dasar parti sendiri. Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub bagaimanapun menjelaskan pengaruh PKR dan Anwar tidak sampai menghakis identiti Pemuda PAS. Perkara ini yang diungkitkan oleh seorang pemimpin PAS Kedah tidak pernah menjadi isu dalam mesyuarat dewan itu sama ada di peringkat pusat atau negeri, tambahnya. Salahuddin mengulas pandangan sasterawan terkenal Azizi Abdullah yang mendakwa ramai ahli PAS, khususnya Pemuda sangat terpengaruh PKR khususnya dalam kempen pilihanraya, termasuk di Permatang Pauh bulan lalu. Menulis di blognya (aziziabdullah.blogspot.com), pengarang novel Seorang Tua di Kaki Gunung itu yang pernah menjadi calon PAS berkata "sangat payah hendak membezakan yang mana PKR, yang mana orang PAS". "Sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli PAS semacam sudah menjadi ahli PKR, malah mereka lebih PKR daripada PAS, mabuk rasa, mabuk nama," katanya, yang pernah dilantik pengarah Majlis Tindakan DUN parti itu. "Terakhir, dari mulut ke mulut, mereka (ahli PAS) impikan peralihan kuasa melalui PKR dan apabila ada pemimpin PAS berceramah, mereka akan merungut dan membebel mulut jika pemimpin PAS mengupas soal peperangan Kubra atau nuzul Quran dalam konteks politik kini, kerana pemimpin PAS itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Anwar menjadi pemimpin." Azizi berkata, ahli-ahli PAS tidak lagi melaungkan takbir tetapi "reformasi" dalam ceramah-ceramah dan lebih banyak menghabiskan masa di pondok panas PKR daripada pusat PAS ketika menghadapi pilihanraya. "Memang muak pun melihat ramai ahli-ahli PAS, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan PAS tetapi berbaju PKR. "Sesekali semacam hendak menyindir betapa akidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap 'reformasi'," katanya. Ahli-ahli PAS juga didakwa terikut-ikut dengan pendirian PKR terhadap ahli parlimennya Zulkifli Nordin berhubung tindakan membantah forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam, Ogos lalu. Dihubungi Malaysiakini hari ini, Salahuddin menyifatkan pandangan Azizi itu "tidak menggambarkan hakikat sebenar" yang berlaku. Menyentuh kerjasama dalam pilihanraya kecil tersebut, Salahuddin berkata, beliau mengarahkan ahli-ahli Pemuda PAS membantu PKR dalam muktamar dewan itu atas semangat setiakawan Pakatan Rakyat. Menurutnya, oleh kerana pilihanraya kecil itu ditandingi Anwar, sudah tentu baju, poster dan kemeja T PKR dibekalkan dan dipakai oleh ahli-ahli PAS. "(Perbuatan itu) bukan penghakisan (pengaruh PAS) atau asimilasi, (dakwaan) itu tidak benar. Kita tetap dengan entiti dan identiti PAS," katanya. Beliau berkata, dakwaan sekarang tidak lagi kedengaran laungan takbir sebaliknya diganti dengan "reformasi" juga tidak tepat. "Dalam program PKR, program Anwar, sudah tentu laungan reformasi itu lebih (kuat) kedengaran," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian. Mengulas pengaruh PAS terhadap golongan muda saat ini, Salahuddin berkata, sokongannya sentiasa meningkat dari masa ke semasa. "Daripada lebih kurang 1,000 ahli baru setiap bulan, 60 peratus orang muda," katanya. Exco Angkatan Muda PKR Kedah, Hasrul Muhaimin Hasbi pula mengakui bahawa PKR dan penasihatnya memang lebih popular di kalangan orang muda tanpa mengira parti. "Anwar popular di kalangan orang muda kerana imej mudanya itu jelas. Orang kenal Anwar sejak daripada beliau muda-muda di zaman sekolah dan universiti lagi. "Imej muda itu membuatkan orang tertarik dan rasa dekat," katanya kepada Malaysiakini. Tambahnya, yang menjadi calon PKR di Kuah, Langkawi dalam pilihanraya umum lalu, sejarah kelahiran parti itu melalui siri demonstrasi pada 1998 membuka peluang kepada pembabitan golongan muda. Hasrul berkata, dalam pemerhatiannya, penyokong pembangkang lebih selesa dengan imej, dasar dan pendekatan PKR kerana PAS lebih menekankan soal agama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa anak muda yang pelbagai latar belakang. "PAS ini banyak golongan ahli agama, dua tiga kali dia pergi kena nasihat, lepas itu dia seganlah nak pergi. Yang tidak pakai tudung, sudah tentu tidak pergi (mendekati PAS)," katanya. Bagaimanapun, persoalan "curi ahli" tidak timbul kerana, menurutnya, ia cuma "membuang masa" dan bagi penyokong pembangkang, kedua-dua parti itu "sama sahaja". "Mereka anggap PAS dan PKR sama saja. Mereka tidak peduli PAS atau PKR atau DAP, asalkan pembangkang, dia sokong. "Mungkin juga kita sedang menuju sistem dua parti yang hanya ada kerajaan dan pembangkang," katanya. Kritikan Azizi kini semakin tersebar meluas di Internet, khususnya di kalangan ahli dan penyokong PAS. Ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa pemimpin-pemimpin parti itu terbelah dua dalam isu penggantian kerajaan 16 September, yang mula ketara sejak muncul isu rundingan dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan Rakyat beberapa bulan lep |
24 September 2008
PEMUDA NAFI 'BADAN PAS, BAJU PKR'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment