KUALA LUMPUR 23 Sept. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut tindakan lanjut ke atas Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung kenyataannya yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury disegerakan.
Kesemua NGO berkenaan rata-ratanya mahukan kes itu digerakkan dan mempersoalkan kenapa ia didiamkan sedangkan melibatkan maruah raja Melayu yang sangat mulia kedudukannya dalam masyarakat Melayu.
Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, rakyat perlu mengetahui apakah penghujung kepada siri laporan polis yang dibuat pelbagai pihak ke atas Karpal dan mengapa tiada tindakan diambil sehingga kini.
“Jika perkara itu (persoalkan kuasa Sultan Perak) ada asas, ada unsur derhaka dan mempersoalkan undang-undang, maka kita mahu tindakan yang sepatutnya diambil terhadap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 18 September lalu, dua buah NGO iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), mempersoalkan kenapa masih tiada tindakan diambil terhadap Karpal berhubung isu tersebut.
Menurut Muhammad, undang-undang dan hukuman di sini undang-undang perlu dikuatkuasakan dan “tidak boleh dikecualikan walaupun ia melibatkan seorang ahli politik kanan serta peguam terkenal”.
Arahan
Awal Mei lepas, Karpal dilaporkan mempertikaikan tindakan Sultan Perak, Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.
Karpal mempertahankan kenyataannya itu dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak. Katanya, kenyataan tersebut membabitkan isu perundangan.
Sikap degil Karpal itu yang dilihat banyak pihak sebagai merendahkan-rendahkan darjat seorang raja Melayu telah mendorong beberapa NGO membuat laporan polis.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal, namun Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 5 Jun dilaporkan mengarahkan polis membuat siasatan lanjut.
Kini, banyak pihak yang prihatin dengan kedudukan raja Melayu mula mempersoalkan mengapa kes Karpal itu yang dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara tidak memperlihatkan sebarang perkembangan.
Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, ahli politik seperti Karpal sepatutnya memahami batas bila bercakap mengenai kuasa sultan Melayu.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan tindakan lanjut ke atas peguam berkenaan jika siasatan mendapati ada asas untuk bertindak demikian.
“Jangan ganggu kedaulatan sultan,” katanya.
Penyelaras Kumpulan Prihatin, Khairul Arifin Mohd. Munir pula berkata, secara dasarnya apa yang dibangkitkan Karpal mengenai bidang kuasa Sultan Perak itu adalah sesuatu yang sangat serius.
Katanya, Karpal sepatutnya berfikir panjang serta membincangkan isu itu dengan cara baik dan bukannya mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu.
No comments:
Post a Comment