2 May 2010

'Hanya jawab ya atau tidak'

KUALA LUMPUR 1 Mei - Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa hanya perlu menjawab 'ya' atau 'tidak' berhubung pendedahan seorang penulis blog menerima peruntukan RM4 juta untuk melemahkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya Exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu tidak boleh memberi jawapan berhubung pendedahan Syed Azidi Syed Abdul Aziz itu, bermakna benarlah Pas membuat pembayaran tersebut.
''Bayangkan RM4 juta untuk seorang penulis blog, bagaimana jika ada penulis blog lain yang belum lagi membuat pendedahan. Kalau benar Syed Azidi dibayar maknanya hebatlah kepimpinan Abdullah dan jelas menunjukkan Pas takut dengan Islam Hadhari.
''Patutlah gagasan dan pemikiran yang baik daripada Barisan Nasional (BN) tidak dapat disebarkan secara meluas di Kelantan,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Husam menempelak Syed Azidi kerana membuat dakwaan menerima peruntukan RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf untuk melemahkan pentadbiran Abdullah dan memudahkan Pas menewaskan BN di Kelantan.
Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, kenyataan Husam yang bersungguh- sungguh memburukkan Abdullah mencerminkan seolah-olah beliau terlibat dalam kerja-kerja tidak bermoral itu.
''Husam kini mula panas dan goyah umpama takut dengan bayang-bayang sendiri. Husam bersungguh-sungguh menafikan perkara itu walhal beliau tidak perlu berbuat demikian, tetapi lagaknya seperti siapa makan cili dia terasa pedas,'' jelasnya.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula berpendapat mana-mana individu atau pihak tertentu sepatutnya tidak boleh mempertikaikan kewibawaan bekas pemimpin yang pernah berjasa kepada negara.
''Jika ingin menegur biarlah dengan cara yang lebih bersopan,'' katanya.

No comments: