7 May 2010

Perkukuh daya saing Melayu

KUALA LUMPUR 6 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keupayaan dan daya saing orang Melayu perlu dikukuhkan melalui perubahan minda dan sikap supaya mereka lebih berkeyakinan untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata, atas sebab itulah walaupun kerajaan meneruskan dasar afirmatif, kerajaan akan mentransformasikan pendekatan dasar itu untuk membantu dan memberikan insentif kepada orang Melayu yang mempunyai potensi untuk maju.
Dalam erti kata lain, katanya, kerajaan akan membantu orang Melayu yang telah membuktikan kemampuan mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
''Sebagai contoh, jika syarikat orang Melayu sudah berjaya, kita mahu jadikan syarikat yang berkenaan itu berjaya di peringkat serantau sebagai juara serantau dan seterusnya menjadi juara dunia," katanya dalam blognya di http:/ /www.1malaysia.com.my.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pandangan seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya Denai Hati yang berharap Perdana Menteri dapat membawa agenda memperkasa minda orang Melayu untuk menjadi Melayu moden dan beriman.
Denai Hati turut berharap agar agenda memperkasakan minda itu akan dapat mengikis sifat negatif yang bermaharajalela dalam pemikiran orang Melayu yang mana akan menyebabkan kemajuan mereka terbatas.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pendekatan meneruskan dasar afirmatif bererti kerajaan mahu mewujudkan persaingan sesama bumiputera.
''Kita akan memilih mereka berdasarkan merit dan kemampuan. Melalui pendekatan itu, saya percaya kita mampu mengetengahkan bumiputera yang berjaya disebabkan kita telah memilih mereka yang sudah terbukti memperlihatkan kemampuan untuk bersaing di peringkat dunia.
''Oleh sebab itulah kita akan teruskan dengan tindakan afirmatif tetapi dengan menggunakan pendekatan yang lebih mesra pasaran, lebih berdasarkan merit dan sesuai dengan mereka yang benar-benar mampu atau yang perlu diberi bantuan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan seorang lagi penulis P. Sritharan mengenai Perdana Menteri yang kerap melakukan kunjungan berjalan kaki mesra rakyat, beliau berkata, kunjungan itu bukan sahaja bertujuan bertemu rakyat malah beliau akan mengetahui keadaan sebenar rakyat di negara ini.
''Saya memang merancang aktiviti kunjungan berjalan kaki ini dengan hasrat apabila saya turun padang, saya bukan hanya dapat berjumpa rakyat malah menyelesaikan masalah dan isu setempat mereka," katanya.
Perdana Menteri berharap, proses berhubung dan mendekati rakyat bukan hanya melalui kunjungan berjalan kaki malah proses itu juga dapat dilaksanakan melalui blog, Facebook dan Twitter beliau.
''Saya berharap dapat mengadakan sesi minum petang dengan rakan Facebook saya (kali pertama telah berjaya) dan saya berdoa akan ada lebih banyak peluang untuk mengundang lebih ramai rakan Facebook saya menghadiri pertemuan pada masa hadapan," katanya.
 

No comments: