Itulah reaksi pertama saya bila berhadapan dengan kenyataan yang Saudara Rustam telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya.
Arwah Rustam dan dan isteri nya Puan Rohani adalah jiran saya di Bukit Lela. Rumah kami adalah sebelah menyebelah. Keluarga saya sudah tinggal di Bukit Lela lebih kurang 18 tahun. Keluarga arwah adalah lebih lama lagi dari kami.
Saya selalu terserempak dengan mereka suami isteri apabila saya dalam 'mood' untuk berjogging di kawasan Bukit Lela. Mereka suami isteri adalah baik dan peramah, lebih-lebih lagi Puan Rohani yang berasal dari Ulu Yam, Ulu Selangor. Arwah dari Tanjong Malim. Arwah lebih pendiam. Tapi bila berbual senantiasa tersenyum. Itu lah pada pemerhatian dan kenangan saya terhadap arwah.
Saya selalu juga jumpa pasangan yang merupakan model satu 'loving couple' ini di Lake Club dari masa kesemasa. Mereka selalu kesana berjumpa rakan dan taulan mereka.
Bila ada peluang selalu juga kami bersembang mengenai politik tanah air walaupun beliau Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaya (PRM) dan saya adalah dari keluarga UMNO generasi kedua. Beliau pada saya merupakan seorang nasionalis tulin yang tidak ada kompromi dalam hal kepentingan Melayu. walaupun perjuangannya bersifat 'left wing'. Antara tokoh-tokoh pejuang marhain atau puak kiri di Malaysia ialah Ahmad Bustamam (ayahanda kepada arwah), Ishak Hj Mohamad (Pak Sako)dan Dr Burhanuddin Helmi
Di Indonesia puak marhain inilah yang mempelopori perjuangan kemerdekaan negara tersebut. Pemimpin-pemimpin mereka seperti Sukarno dan Hatta adalah simbol golongan ini yang kemudiannya menjadi Presiden dan Naib Presiden Kepublik Inonesia. Jadi tidak heran bila kita lihat simbol Parti Rakyat Malaya (PRM) dan lambang negara Indonesia adalah lebih kurang serupa.
Di Malaysia sebaliknya pimpinan politik yang dominan adalah dari istana dan golongan bangsawan. UMNO ditubukan di Istana untuk melindungi kepentingan Raja dan orang Melayu. Tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar , Tunku Abdul Rahmandan Tun Abdul Razak adalah ikon kepimpinan Melayu dalam UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Malaysia.
Tentunya dengan pemergian arwah adalah satu kejutan yang besar kepada Puan Rohani. Saya dan isteri saya Azizah berharap semoga beliau akan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Tapi saya penuh yakin dengan sokongan dari kedua anaknya Azrani dan Ariani dan adanya seorang cucu pula akan memberikan kekuatan kepada Puan Rohani.
Baru sekejap tadi kita telah membaca surah Yasin dan bertahlil untuk malam kedua di rumah arwah dan kebetulan malam ini adalah malam yang mulia iaitu malam Jumaat . Moga-moga Surah Yasin dan Tahlil yang dijalankan tadi sampai kepada roh arwah.
Marilah kita berdoa semoga Allah meletakkan roh arwah bersama-sama orang yang selamat dan bahagia disisi Allah.
Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment