21 April 2008

UMNO SELANGOR DAH BUAT PENDIRIAN, PANDANGAN DR KHIR ITU DIANGGAP PANDANGAN PERIBADI


Dari blog Muhammad Muhd Taib (www.muhammadmuhdtaib.com)

Malam selasa lepas Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor telah membuat keputusan sebulat suara menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden dan Dato Seri Mohd Najib sebagai Timbalan Presiden.

Malah soal peralihan kuasa juga disentuh dan kami sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan kepada Pak Lah berbincang dengan Dato Najib, cara dan bila peralihan kuasa itu perlu berlaku.

Mesyuarat perhubungan malam selasa lepas di hadiri oleh semua ketua bahagian kecuali Dr, Mohd Khir, Ketua Bahagian Sungai Besar yang diwakili oleh Datuk Shukor.

Saya menyentuh perkara ini kerana ingin menjelaskan apa yang ditulis oleh Dr. Khir Toyo dalam blog Cetusan Dr. Mohd Khir yang meminta peralihan kuasa Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan segera.

Bagi saya itu pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pandangan dan pendirian Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor.

Dr. Khir tidak hadir dalam mesyuarat perhubungan saya difahamkan beliau berada di Tanah Suci kerana mengerjakan umrah.

Apapun, pendirian Umno Selangor jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika ada selepas ini pandangan mana-mana pihak dari Selangor tentang perkara tersebut, saya anggap itu pandangan peribadi dan tidak boleh dianggap mewakili pendirian Umno Selangor.

Bagi saya, apa yang dialami oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu tidak sepatutnya dibeban dan dipersalahkan kepada Pak Lah seorang sahaja.

Sebagai Ketua Bahagian, Ketua Cawangan malah bagi negeri yang kalah Pengerusi Badan Perhubungan Negeri juga harus memikul dan mengambil tanggungjawab ini.

Bila negeri kalah, Perdana Menteri sahaja yang salah. Habis, apa tanggungjawab kita yang menjadi pemimpin diperingkat cawangan,bahagian malah negeri.



No comments: