6 March 2008

ANWAR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB - ABDULLAH


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dengan wajah ceria melambai tangan bersama-sama pemimpin-pemimpin Gerakan (dari kiri) Datuk Seri Chia Kwang Chye, Tan Sri Koh Tsu Koon dan Datuk Dr. Teng Hock Nan (kanan) semasa Malam Satu Hati Bersama Rakyat di Padang Tembak, Pulau Pinang semalam. – Gambar SAZALI CHE DIN.


PULAU PINANG 5 Mac-Utusan Online – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan pemimpin tulen kerana tindak-tanduknya menunjukkan beliau seorang yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah ditolak oleh UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN).

‘‘Dia tidak penting kepada saya, tidak penting kepada UMNO. Dia tidak ada kawan dalam UMNO sebab itu dia lawan UMNO.

‘‘Dia nak cuba balik (sertai) dalam UMNO... no way. Kita mempunyai pemimpin yang cukup untuk mengetuai UMNO. Tidak payah tunggu dia balik, biar dia cari kawan daripada kalangan pembangkang.

‘‘Dengan UMNO cakap lain, dengan orang lain cakap lain, semua dia nak untung,’’ kata Abdullah ketika berucap di hadapan 5,000 penduduk Cina pada Majlis Malam Satu Hati Bersama Rakyat di Jalan Padang Tembak, Air Itam di sini malam ini.

Menurut Abdullah, Anwar sebenarnya gemar menabur janji kosong dan bukanlah pemimpin yang boleh dipercayai oleh rakyat negara ini.

‘‘Kalau kita (BN) berjanji, kita akan tunaikan. Itulah BN yang merupakan barisan tulen dan mendukung prinsip satu hati, satu tujuan, satu negara,’’ katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya ketika berkempen di Keningau, Sabah, Abdullah tidak menolak kemungkinan perancangan yang dibuatnya semasa menjadi Menteri Pelajaran dahulu tidak diteruskan oleh Anwar yang menggantikannya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang itu mungkin tidak mahu warga pendidikan mengingati jasa dan pembaharuan yang cuba dilakukannya.

‘‘Semasa saya Menteri Pelajaran dahulu didapati banyak sangat skim guru yang menyebabkan satu-satu skim itu mencapai tahap gaji maksimum terlalu awal dan selepas itu gaji tidak boleh naik lagi.

‘‘Oleh itu saya merangka skim yang lebih baik, tetapi selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan diganti oleh Anwar, dia lupakan. Akibatnya yang rugi adalah guru-guru kerana kita bertujuan membaiki nasib guru,” katanya.

No comments: