|
|
PRAI 1 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan hak dan kepentingan orang Melayu akan terus dipelihara walaupun kerajaan membantu kaum-kaum lain.
Oleh itu, tegas Perdana Menteri, orang Melayu jangan berasa kurang selamat hanya kerana bantuan-bantuan yang diberikan kepada bukan bumiputera.
“Kalau kita membantu mereka (kaum lain) ia dilaksanakan atas asas-asas bahawa setelah dipertimbangkan ada kewajaran untuk membantu. Namun ini tidak bermakna ia mengurangkan apa juga bantuan yang dinikmati oleh bumiputera dan kita tidak berhajat berbuat demikian,’’ katanya.
Abdullah berkata demikian dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia sempena Pilihan Raya Umum Ke-12, di sini.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak pernah mengurangkan apa juga bantuan yang dinikmati oleh bumiputera kerana harus membantu kaum lain.
“Janganlah berasa kurang selamat... sebenarnya dalam negara ini pembangunan yang dibawa oleh kerajaan adalah seimbang dengan tuntutan kaum yang ada,’’ katanya.
Pada hari ini, jelas Perdana Menteri, kaum bumiputera sudah maju dalam pelbagai bidang sama ada pada peringkat pelajaran atau dalam sektor swasta.
“Persaingan tetap ada dan kita harus membina keyakinan orang Melayu supaya sanggup bersaing,’’ katanya.
Abdullah berkata, orang Melayu mesti sanggup berbuat demikian kerana kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan mereka.
Mengenai pilihan raya, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan cakap-cakap kononnya orang Melayu tidak menyokong parti itu dilakukan oleh parti pembangkang.
“Mereka sebenarnya hendak timbulkan keraguan... mereka mahu menangguk di air keruh... itu cara mereka. Oleh itu rakyat perlu bersikap objektif... jangan emosional... fikirlah habis-habis... pembangkang kerja mereka mahu menghasut sahaja,’’ tegasnya.
No comments:
Post a Comment