5 March 2008

KE MANA MASA DEPAN HUBUNGAN PAS-PKR?

Utusan Online

Pendapat
SECARA kebetulan, kempen pilihan raya negara kita tahun ini bertembung dengan kempen pemilihan calon parti untuk kerusi Presiden Amerika Syarikat.

Kenyataan-kenyataan calon Demokrat, Senator Barrack Husein Obama semakin mendedahkan kebencian rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap Presiden mereka sekarang, George W. Bush khususnya berkenaan perang terhadap Iraq.

Sekiranya pembaca mengikuti perjalanan panjang perang itu, mereka akan bertemu dengan istilah Neo Conservative (Neo Con) yang menjadi perancang utama perang merebut rizab minyak di Timur Tengah.

Neo Con adalah gabungan dua kumpulan pelobi utama yang berjaya meletakkan Bush di tempat beliau berada sekarang.

Istilah itu sendiri merujuk kepada singkatan kumpulan Konservatif Baru yang didukung oleh Bush daripada kumpulan Kristian Ortodoks.

Namun sebagaimana pandangan umum, kumpulan pelobi utama kepresidenan di AS, kelompok Yahudi tidak mementingkan perjuangan mazhab mana yang perlu mereka sokong.

Yang penting adalah kumpulan yang mereka sokong perlu menang dan Presiden yang dilantik akan berterusan menjadi alat menjayakan cita-cita zionisme mereka.

Pakar utama di sebalik keghairahan kumpulan Neo Con iaitu Paul Wolfowitz, yang merupakan sahabat baik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Mantan Timbalan Perdana Menteri kita sangat berbangga dengan persahabatan beliau dengan tokoh Neo Con ini. Beliau telah menyokong Paul Wolfowitz untuk jawatannya suatu ketika dahulu, Presiden Bank Dunia.

Setakat ini mungkin kelihatan agak jelas kepada fikiran kita tentang pertalian persahabatan dan sokongan seseorang yang dianggap mewakili’ tokoh Islam moderat di Asia’ telah meletakkan Wolfowitz di tempatnya sekarang.

Kaitannya bahawa penyokong utamanya berada di Malaysia dan sedang menjalankan segala aktiviti politik bagi menjayakan agenda Neo Con di negara ini.

Penyokong utama Neo Con kini bergabung dengan sebuah parti Islam konservatif, Pas untuk menentang sebuah parti pakatan nasionalis yang memerintah Malaysia hari ini.

Pas yang kehilangan arah selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 telah membuat beberapa perhitungan yang tergesa-gesa dan membuta-tuli apabila mengambil penyokong kuat Neo Con sebagai idola politik terbaru mereka.

Hasilnya, beberapa kumpulan dalam Pas mula menyatakan rasa tidak senang mereka dengan keputusan pucuk pimpinan. Hal ini boleh dilihat daripada beberapa kritikan pedas oleh beberapa bahagian parti itu dalam muktamar mereka di Kelantan suatu ketika dahulu.

Sekalipun silap, Pas nampaknya tiada pilihan. Mereka tidak lagi mempunyai seorang pun tokoh yang dikira dapat menjadi penggerak untuk menyaingi kewibawaan Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri hari ini.

Dalam pencarian mereka untuk mencari seorang tokoh yang mewakili pemikiran agama segar, tidak konservatif sebagaimana Presiden mereka, Abdul Hadi Awang. Pas nampaknya tersasar dan amat terdesak dalam mencari haluan masa depan parti itu.

Pas telah menggadai seluruh perjuangan mereka ‘membela’ Islam, sebagaimana yang didakwa selama ini hanya kerana kegagalan mencari seorang tokoh berpengaruh.

Mereka sanggup mengambil tokoh penyokong utama Neo Con dalam usaha menggilap semula imej parti yang dikatakan tidak mesra rakyat, ala Taliban, konservatif dan dipimpin oleh pasukan yang tidak pandai memerintah.

Kepada sebuah parti kecil lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka terkapai-kapai dalam memberi jawapan kepada persoalan sokongan penasihat utama parti mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Paul Wolwowitz. Nampaknya penggabungan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (kemudian bertukar menjadi Parti Rakyat Malaysia - PRM) menghadapi halangan ideologi yang sangat besar.

PRM yang baru sahaja menyelesaikan krisis perpecahan setelah keputusan menggabungkan diri ke dalam PKR telah berkorban sekali lagi dengan keputusan Anwar menyokong Wolfowitz.

Hasilnya, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan Anwar merupakan pandangan peribadi dan berasingan daripada pandangan PKR terhadap isu pelantikan Wolfowitz tersebut.

Kini, Pas nampaknya menuju jalan penamat ‘perjuangan Islam’ mereka. Kalangan radikal dalam Pas semakin keliru mempersoalkan hubungan yang pelik antara parti mereka dengan PKR.

Seorang ahli muda parti tersebut mengingatkan pemimpin mereka supaya sentiasa berhati-hati dengan pergerakan Anwar.

Mereka melahirkan kebimbangan sekiranya dengan sokongan terhadap Anwar, akan membawa kepada kesimpulan bahawa Pas turut sama bersekongkol dan terjerumus dengan Yahudi yang menyebabkan penderitaan umat Islam di Asia Barat.

– UMAR ZAIN

No comments: