KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-12 memberi banyak isyarat kepada semua pihak terutama Barisan Nasional (BN). Sememangnya keputusan tersebut mengejutkan tetapi tiada apa yang boleh dilakukan kerana rakyat sudah membuat keputusan.
Saya sendiri sebenarnya terkejut tetapi sudah boleh menjangkakan 'ada yang tidak kena' terutama dari segi persiapan dan kempen BN.
Banyak bendera, kain pemidang dan BN di kebanyakan kawasan lewat dinaikkan.
Di sebahagian tempat pula, parti pembangkang lebih menguasai dengan poster dan kain rentang mereka.
Ini pada saya memberi kesan psikologi kepada masyarakat setempat dan pengundi. Selain itu, penentuan calon BN begitu lewat.
Sepatutnya BN yang lebih berpengalaman dapat memuktamadkan calon mereka lebih awal bagi memudahkan jentera bergerak dan bagi menangani segera isu dalaman seperti mereka yang kecewa tidak terpilih.
Pada pilihan raya akan datang BN perlu mengenal pasti calon lebih awal. Begitu juga dari segi persiapan kerana pada kali ini, peruntukan, bendera, poster dan beberapa keperluan lain lewat sampai ke bahagian.
Sedangkan parti-parti pembangkang kelihatan lebih terurus kerana mereka telah membuat persiapan yang lebih rapi.
Tetapi yang lebih menghairankan saya ialah kempen-kempen BN tidak agresif seperti pembangkang.
Kebanyakan pemimpin dan calon BN sekadar memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. Ia menampakkan seolah-olah BN terpaksa bertahan dan pembangkang menyerang. Saya berasa strategi tersebut tidak kena.
Gelombang
Sepatutnya BN perlu sama agresif dan jika boleh, lebih agresif sebagaimana kempen tahun 1999 walaupun gelombang pembangkang kelihatan lebih kuat ketika itu.
Ada lagi faktor lain seperti isu nasional dan persepsi terhadap kepimpinan yang turut menyumbang kepada kekalahan BN terutama di Lembah Klang, Lembah Kinta dan Kedah.
Isyarat yang menggerunkan daripada pilihan raya kali ini ialah undi Melayu berpecah tiga iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam keghairahan menyokong pakatan pembangkang Pas-PKR -DAP, orang Melayu sudah di ambang 'menang sorak kampung tergadai'.
Kerana sentimen untuk mencuba gandingan pembangkang, cengkaman kuasa politik Melayu di Lembah Klang sudah hilang. Apakah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar?
Akibatnya, DAP kini dominan di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, yang begitu strategik kepada negara. Di Selangor, walaupun Menteri Besar adalah pemimpin dari PKR tetapi DAP menguasai lebih kerusi dalam pakatan pembangkang itu.
Harap tanah-tanah rizab Melayu terjaga dan semoga rumah ibadat kaum lain tidak melebihi surau dan masjid selepas ini.
Di Wilayah Persekutuan, penguasaan DAP juga mencerminkan monopoli politik Cina. Ada wakil Pas dan Keadilan pun, mereka kecil dan tidak bersatu dari segi ideologi.
Kejayaan DAP ini semuanya adalah hasil 'bantuan' Pas dan PKR. Itu belum bercakap tentang bagaimana PKR dan Pas turut sama melonjakkan DAP ke persada kuasa di Pulau Pinang dan begitu juga di Perak.
Ternyata pilihan raya kali ini menyaksikan sentimen perkauman yang kuat dimainkan oleh masyarakat Cina dan India kononnya untuk menghukum BN khususnya UMNO.
Antara sebab UMNO ditekan kerana mempertahankan agenda Melayu selain berasa tidak puas hati terhadap beberapa isu kononnya masyarakat India dipinggirkan dan isu keris oleh Pergerakan Pemuda UMNO.
Sebab itu, hampir 100 peratus pengundi Cina dan India memberi undi kepada pembangkang. Nampaknya yang menjadi mangsa kepada muslihat politik ini, ialah orang Melayu.
Lebih menyedihkan ramai orang Melayu yang tidak mendaftar sebagai pengundi dan mereka yang mendaftar pula, ambil mudah dengan tidak keluar mengundi.
Atas alasan apa sekalipun jika kita kecewa atau marah terhadap BN ia sepatutnya tidak sampai menghukum orang Melayu sendiri apatah lagi UMNO yang selama ini mempertahankan Islam dan agenda Melayu.
Bapa saya, seorang bekas pegawai tentera menitiskan air mata bagaimana 'Melayu membunuh Melayu', angkara politik kepentingan sempit. Inilah realiti terbaru bagaimana kealpaan dan percaturan emosi akhirnya melemahkan politik Melayu.
Tepuk dada tanya selera.
– DR. SOSIAL,
Kuala Lumpur.
2 comments:
BN tewas banyak kerana hampir 100 peratus bukan Melayu pangkah pembangkang. Calon PKR dan Pas menang pun kerana undi bukan Melayu. Di negeri undi bukan Melayu rendah, kedua-dua parti ini tak menang besar.
Jadi jagalah hati pengundi bukan Melayu lain kali. Jangan buat sesuka hati saja. Caubut keris tak tentu arah ...
Bingkisan ini telah saya hantar ke forun Utusan Malaysia pada 10/3/2008. Mungkin tidak akan disiarkan kerana sikap 'over-protective' media arus perdana terhadap Pak Lah. Diharap dapat menjadi renungan kenapa pengundi senyap seperti saya memilih tidak menyokong kerajaan kali ini.
Saudara Pengarang,
Per: KENAPA SAYA SEKELUARGA TIDAK KELUAR MENGUNDI KALI INI
Saya se keluarga bukan di kalangan ahli UMNO. Mengundi bagi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baru. Sehingga 2004 saya telah empat atau lima kali mengundi. Se tiap kali parti yang di pangkah ialah Barisan Nasional. Tetapi kali ini kami se keluarga memilih untuk tidak keluar mengundi.
Kami tidak pernah menghadiri mana-mana kempen parti kerajaan atau pembangkang. Juga tidak pernah didatangi oleh wakil kedua parti itu kecuali mungkin sekali oleh penyokong PAS pada Pilihan Raya Umum ke 10.
Kami tidak pernah melanggani akhbar-akhbar parti pembangkang. Akhbar utama yang menjadi tatapan kami ialah Utusan/Mingguan Malaysia dan Harian Metro. Sesekali kami beli Berita Harian.
Keputusan untuk tidak mengundi dibuat lebih dua tahun dahulu. Bukan di saat-saat orang hangat berkempen baru-baru ini. Izinkan saya mencatat beberapa sebab mengapa kami memilih untuk 'memboikot' pilihan raya kali ini sebagai melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mudah-mudahan dapat memberi sedikit gambaran terhadap keputusan pilihanraya yang ke 12 ini.
Antara sebab-sebabnya ialah:
a)Penyisihan Tun Dr. Mahathir daripada UMNO dengan cara yang cukup menghina.
b)Keputusan undi perwakilan UMNO Kubang Pasu yang tidak masuk akal.
c)Faktor Khairy Jamaludin. Umum mengetahui mengapa dia begitu senang mendapat tempat dan jawatan dalam UMNO. Saya ingin bertanya UMNO sekarang milik orang Melayu atau keluarga tertentu Melayu?
d)Wujud budaya 'Yuppie' dalam pemuda UMNO. Mereka sudah berasa kedudukan mereka terlalu tinggi hingga hendak turun ke bawah terpaksa diwujudkan satu lagi anak tangga yang di panggil Putera UMNO.
e)Isu Jambatan Bengkok di mana kerajaan dilihat sebagai mengalah kepada Singapura walaupun projek yang dibuat terletak dalam kawasan sendiri. Alasan yang diberikan oleh kerajaan iaitu takut kena saman kami tak dapat terima.
f)Malaysia hilang kedudukan sebagai suara dunia ke 3 di bawah pimpinan Pak Lah.
g)Isu Proton yang mengambil terlalu lama oleh pengurusan baru. Sebagai kayu pengukur tahap kemajuan negara dalam bidang teknologi saya ingin melihat sama ada Proton suatu hari nanti dapat menandingi syarikat-syarikat pembuat kereta seperti Honda, Mercedes atau Toyota, atau sekadar berbangga melaporkan keuntungan yang dibuat hasil penjualan keretanya ke China.
h)Media seperti Utusan, RTM dan TV3 kini berperanan tak lebih daripada alat propaganda. Bukan lagi wadah untuk meluahkan isi hati rakyat. Akibatnya segala kejayaan, keuntungan dan kemajuan yang dipaparkan kami anggap hanya sebagai halwa mata dan telinga untuk menunjukkan betapa hebatnya kerajaan sekarang. (Berbanding dahulu, sekarang saya baca Utusan Malaysia tak pernah lebih 10 minit sebab saya tahu semuanya baik-baik belaka. Kritikan terhadap kerajaan memang tak pernah dengar langsung.)
i)Tektik menyogok wang kepada rakyat melalui kenaikan gaji kakitangan awam yang keterlaluan, dan lain-lain sogokan atas nama bonus khas(contohnya oleh Tabung Haji) dan sebagainya dilakukan dengan terlalu nyata hinggakan matlamat dan tujuan tersiratnya dapat dilihat dengan jelas. Mungkin ini juga yang membuatkan Hindraf tidak berpuas hati kerana kebanyakan yang mendapat faedah sogokan itu orang-orang Melayu. Adakah kerajaan mengganggap dengan sogokan itu mereka akan mudah perolehi undi Melayu? Sebagai orang Melayu saya berasa malu dianggap undi Melayu mudah dibeli.
j)Projek-projek koridor pertanian yang bernilai berbilion-bilion yang tujuannya hanya, pada hemat saya, cara perdana menteri baru menunjukkan yang beliau mampu keluar dari bayang-bayang perdana menteri lama yang prestasinya tak perlu dipertikai, dan mencipta identiti sendiri. Saya hanya akan akui kejayaan projek-projek ini jika 5 tahun lagi kita dapat menyaingi Thailand dari segi kemajuan teknologi pertanian dan tak perlu memgimpot beras dari luar negara. Jika hanya mampu menjaja pertumbuhan ekonomi 6% se tahun hasil daripada usaha yang dipelopori oleh perdana menteri lama saya anggapkan kejayaan perdana menteri baru ini taklah seCEMERLANG mana.
k)Ura-ura di kalangan ahli UMNO untuk menukar semula bahasa pengantar bagi Sains dan Matematik dari Inggeris ke Bahasa Malaysia. Mengapakah di zaman Dr. Mahathir mereka tidak berani mengungkitnya? Adakah untuk menuju keGEMILANGan kita harus undur ke belakang?
l)Masalah jerebu yang tidak pernah ditimbulkan oleh kerajaan sekarang walaupun umum ketahui ia berlaku setiap tahun. Mungkin untuk menjaga hati Presiden Susilo. Tetapi alhamdulillah sekarang kerap hujan di tempat saya.
m)Laungan slogan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang' yang pada hemat tidak pernah mencerminkan pencapaian sebenar kerajaan pimpinan Pak Lah. Dr. Mahathir yang terkenal sebagai seorang yang gigih bekerja pun tak pernah mencanangkan kejayaan 20 tahun pemerintahannya sebegitu tinggi. Mungkin orang yang 'simple minded' akan termakan dengan slogan ini. Tidak bagi saya. Kejayaan Pak Lah hanya gah di kaca tv dan muka surat akhbar yang bagi saya entah betul entah tidak.
Atas semua alasan ini saya telah mengambil keputusan untuk tidak pergi keluar mengundi walaupun tahu Barisan Nasional tetap akan menang. Anggapan saya satu undi kurang tidak akan memberi apa-apa kesan kepada kerajaan. Tetapi, seperti diketahui umum, keputusan pilihanraya ke 12 ini mengejutkan semua orang.
Saya berharap kerajaan akan datang akan lebih peka terhadap kehendak dan rintihan hati rakyat. Mereka tidak harus menganggap rakya tidak mampu berfikir dan/atau menilai prestasi kerajaan. Kerajaan yang jujur harus berupaya menerima kritikan membina tanpa merasa tercabar dan membenarkan kritikan-kritikan ini disalurkan melalui media arus perdana. Pengajaran yang dapat diperolehi daripada pilihanraya umum kali ini ialah rakyat tidak mudah menerima apa saja yang disogokkan oleh kerajaan sama ada dari segi berita pencapaian cemerlang kerajaan atau ganjaran-ganjaran berbentuk bantuan, bonus atau wang. Kejujuran dan keikhlasan dalam menjalankan amanah dan tugas itu juga akhirnya yang dituntuk oleh rakyat.
Yang Benar,
Shaharuddin Bin Mohd Isa
Kulim Kedah
Post a Comment