9 October 2008

ABDULLAH TIDAK PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN UMNO


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan akan melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac tahun depan.

Abdullah mengumumkan keputusannya untuk tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, Rabu.

Katanya beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perhimpunan agung Umno pada Mac nanti.

Secara tradisinya, Presiden Umno menjadi Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional.

Ini bermakna peralihan kuasa kepada Najib yang sebelum ini ditetapkan pada Jun 2010, akan diawalkan setahun.

Pada satu mesyuarat khas baru-baru ini, Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan menangguhkan perhimpunan agung parti dari Disember ini ke Mac tahun depan bagi melincinkan proses peralihan kuasa itu.

Abdullah berkata sepanjang 46 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau sentiasa dipandu oleh hati nuraninya.

"Saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara.Dengan meletak perkara itu di dalam fikiran mendorong saya mengumumkan tidak akan bertanding Presiden UMNO. Saya tidak mahu melihat parti dan kerajaan campuran berpecah belah tetapi sesuatu yang bersatu dan harmoni.

"Barisan Nasional yang bersatupadu adalah penting bagi negara menghadapi cabaran global dan untuk Malaysia menjadi negara yang maju sepenuhnya, yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua," katanya.

Abdullah berkata ada beberapa inisiatif yang beliau mahu melihat ia dilaksanakan sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal penggantinya.

Katanya inisiatif-inisiatif itu adalah penting bagi membolehkan Malaysia mengharungi cabaran untuk terus melangkah maju dan juga diperlukan bagi memperbaiki daya saing negara.

Mengulas mengenai rancangannya sebelum meletak jawatan, Abdullah berkata beliau ingin melihat misinya diteruskan dan berharap penggantinya akan meneruskan agenda itu.

"Saya mahu menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada pengganti saya sebuah negara Malaysia yang mampu mengharungi cabaran ekonomi global, negara Malaysia yang tidak kaya dan tidak miskin, tidak mengira muda atau tua atau bandar atau kampung, bukan Utara dan Selatan dan bukan hanya sebuah agama atau lain-lain tetapi sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.

"Ini bukan masanya untuk bergaduh atau mempunyai pandangan politik sempit tetapi untuk kejayaan, perpaduan dan kerjasama," katanya.

Abdullah juga berjanji bahawa dalam tempoh lima bulan akan datang beliau akan meneruskan usaha pembaharuan dalam bidang kehakiman dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus dan berdasarkan merit.

Dalam mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan turut serta bersama-samanya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju, Abdullah berkata beliau akan membentangkan Rang Undang-undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Parlimen menjelang akhir tahun ini sebagai usaha berterusan untuk membanteras gejala rasuah secara efektif.

Beliau juga bercadang untuk menyelesaikan penubuhan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuh integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan sebagai sebahagian daripada pelbagai usaha untuk menguatkan institusi itu di negara ini.

Perdana Menteri juga berjanji untuk menubuhkan Suruhanjaya untuk mengukuhkan integrasi di antara pelbagai kaum di negara ini.

Abdullah berkata beliau ingin melihat kerajaan dan juga Barisan Nasional memperbaharui komitmen ke arah membina sebuah negara yang bersatupadu dan harmoni.

"Masyarakat telah melihat kemerosotan yang mengejutkan dalam hubungan antara kaum dan agama. Pelbagai isu berbangkit yang mengancam kehidupan rakyat negara ini," katanya.

Abdullah berkata: "Kita perlu bijak menangani isu ini, melalui dialog: menanganinya secara konstruktif dan adil: menjamin ketelusan dan tanpa sebarang keraguan dan memberikan fokus kepada aspek-aspek yang akan menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua."

Sehubungan itu, Abdullah berkata beliau akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional awal tahun depan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kejayaannya.

Mengenai ekonomi, Abdullah berkata beliau banyak bercakap mengenai keperluan bagi memastikan kekayaan dan hasil kemakmuran negara diagih-agihkan.

Dalam Bajet 2009, Abdullah berkata beliau telah menjelaskan mengenai komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial.

"Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu disegerakan bagi membantu rakyat malaysia yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas yang akan dapat mula dinikmati di Iskandar dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di seluruh negara," katanya.

Abdullah berkata disebalik rekod kejayaan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkeyakinan penuh bahawa Malaysia kini berada di persimpangan bersejarah.

"Kita mesti memperbaharui beberapa elemen negara kita, kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan atau kita menanggung risiko kehilangan kesemua yang kita capai dalam tempoh 50 tahun," katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sementara itu, ketika menjawab soalan media, Abdullah berkata beliau tidak menyesal di atas keterbukaannya dalam beberapa isu kerana beliau percaya ia memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya tidak menyesal dengan apa yang telah saya lakukan, bagaimana reaksi orang ramai dan cara mereka bertindakbalas, apa yang mereka fikir bukan menjadi masalah. Kita telah melakukannya dan saya percaya perubahan akan mendatangkan yang berkesan kepada rakyat.

"Saya sentiasa percaya perlu ada lebih ruang bagi membincangkan demokrasi. Ia telah menjadi kepercayaan saya sejak begitu lama dan apa yang saya lakukan adalah saya zahirkannya di dalam manisfesto pilihanraya 2004," katanya ketika ditanya sama ada beliau kesal dengan sesetengah daripada keputusannya untuk bersikap lebih terbuka dalam banyak isu yang dipercayai menjadi punca memaksa beliau meletak jawatan.

Perdana Menteri berkata beliau berasa "tidak apa" selagi BN masih memimpin negara ini.

"Saya percaya kerajaan mampu kekal kuat, sehingga kita menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira bila, InsyaAllah kita akan menang," katanya.

Abdullah yang kelihatan ceria dan banyak tersenyum juga menolak dakwaan bahawa beliau dipaksa meletak jawatan oleh beberapa pemimpin.

"Saya tahu saya tidak menjalankan kerja sebaiknya semasa pilihanraya. Saya fikir, sebelum orang lain mengambil alih, kita memerlukan pemimpin-pemimpin generasi baru, dan saya fikir tidak ada salahnya dengan perkara itu," katanya sambil menambah bahawa beliau membuat keputusan atas rasa kecintaan beliau kepada UMNO dan BN.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata beliau akan berbincang berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Najib selepas Perhimpunan Agung UMNO pada April nanti.

"Pada satu peringkat saya perlu menyerahkannya kepada pengganti saya. Siapa pengganti saya? Saya berharap Datuk Seri Mohd Najib. Dan tahu mengapa saya berkata berharap? Kerana beliau bertanding dalam pemilihan, kalau tidak okay. Beliau terpaksa bertanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dulu. Saya percaya beliau boleh menang.

"Selepas Datuk Najib telah menjadi Presiden dan saya harap beliau akan menjadi Presiden, baru kami akan berbincang mengenainya," kata Abdullah.

Menjawab soalan sama ada pemimpin-pemimpin komponen parti yang lain menerima Najib sebagai pengganti beliau, Abdullah berkata mereka menerimanya.

"Mereka sambut baik. Itu terserah kepada mereka, saya tak memujuk, tak ada kata apa-apa. Apa yang mereka lahirkan adalah pandangan mereka," katanya.

Ketika ditanya apa akan dilakukannya jika beliau masih menerima pencalonan untuk jawatan itu, Abdullah berkata: "Saya dah buat keputusan. Orang nak calonkan, apa kita boleh buat, kita dah beritahu awal-awal lagi dah."

-- BERNAMA

No comments: