31 October 2008

SHAHIDAN CADANG SYARIKAT BUKAN BUMIPUTRA AMBIL 30 PERATUS PEKERJA BUMIPUTRA

Cadangan Datuk Seri Shahidan ini memang baik dan sesuai. Dewan Perniagaan Melayu pun pernah pada satu ketika dahulu menyuarakan cadangan supaya syarikat bukan Bumiputra yang mendapat projek pengswastaan dari kerajaan diberikan syarat supaya mengambil 30 peratus pekerja Bumiputra. Ini cadangan yang baik. Diharap agensi-agensi kerajaan yang berkenaan mengambil tindakan sewajarnya.

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan syarikat bukan Bumiputera yang telah berjaya kerana Dasar Ekomoni Baru (DEB) mengambil sekurang-kurangnya 30 peratus pekerja Bumiputera.

"Ini kerana ketika itu kebanyakan syarikat-syarikat itu mendapat pinjaman daripada Bank Bumiputra malah lebih daripada syarikat yang dimiliki oleh Bumiputera sendiri," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai yang mahukan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera syarikat senaraian awam dihapuskan bagi memastikan ia terus bersaing.

Liow dilaporkan berkata, pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera itu hanya menjadi halangan dalam mewujudkan kerjasama jitu antara peniaga Melayu, Cina dan India di negara ini.

Shahidan yang menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dengan syarikat Octagon mendakwa masih terdapat syarikat yang tidak mengambil pekerja Melayu malah mensyaratkan bahasa Mandarin sebagai keutamaan.

Shahidan berkata ini bukanlah masa untuk menuduh siapa yang adil dan sebaliknya tetapi hakikatnya sesetengah syarikat itu berjaya kerana DEB yang diperkenalkan oleh kerajaan.

"Kita ni umpama kapal yang bocor sedikit, jadi janganlah minta bayaran sebelum menampal bocor itu...kalau tenggelam, semua karam tanpa mengira kaum," katanya.

Sementara itu, mengenai cadangan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya diadakan debat terbuka antara calon-calon Ketua Pemuda bagi pemilihan Umno akan datang, Shahidan berkata perdebatan seumpama itu perlu diadakan bukan sahaja bagi jawatan Ketua Pemuda tetapi juga jawatan lain pada pemilihan Umno.

"Timbalan Presiden Umno, Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan sebagainya semuanya kena berdebat bagi menyatakan pendirian mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata debat itu tidak boleh dilakukan secara terbuka seperti debat Presiden Amerika Syarikat kerana orang Melayu masih belum lagi matang sepenuhnya.

-- BERNAMA

No comments: