7 October 2008

ISU KARPAL : PM MAHU LAPORAN


UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung status siasatan kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak.

Perdana Menteri berkata, beliau setakat ini tidak memiliki maklumat terkini berhubung kes itu dan akan meminta penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Perkara ini (status siasatan terhadap Karpal Singh) akan saya tanya dengan Peguam Negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beberapa NGO sebelum ini menuntut tindakan lanjut ke atas Karpal yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury pada awal Mei lepas.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Jamry yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Karpal mempertahankan kenyataannya dan enggan meminta maaf walaupun dikritik pelbagai pihak dengan alasan kenyataan tersebut membabitkan isu perundangan.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memaklumkan polis selesai menjalankan siasatan terhadap Karpal.

Bagaimanapun, Abdul Gani pada 5 Jun dilaporkan mengarahkan polis membuat siasatan lanjut.

Sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut berhubung siasatan berkenaan sehingga menimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang terlalu lama.

No comments: