KUALA LUMPUR 14 Okt. - Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe dicadangkan supaya berundur daripada pentadbiran kerajaan jika beliau tidak memahami sejarah dan cuba mencari populariti dengan menyentuh sentimen perkauman di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sebagai seorang timbalan menteri, Lian Hoe tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan dangkal yang menyentuh sensitiviti kaum lain.
''Saya kesal dan kecewa kerana beliau (Lian Hoe) sengaja menyalakan api perkauman dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Syed Ali mengulas mengenai tindakan Lian Hoe pada persidangan Gerakan Jumaat lalu yang memberi peringatan supaya semua pihak tidak melupakan sejarah selain menyamakan asal usul setiap kaum di negara ini.
Beliau dipetik sebagai berkata; ''Orang Melayu datang dari kepulauan Melayu di Nusantara. Orang Cina dari negara China. Orang India dari negara India.''
Sambil menyifatkan Lian Hoe sebagai buta sejarah, Syed Ali menegaskan, Gerakan juga sejak akhir-akhir ini semakin tidak menghormati semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).
''Gerakan pada saya sudah keterlaluan dan tidak rasional dalam membicarakan hak serta ketuanan Melayu. Mereka secara terbuka mempersoalkannya seolah-olah parti itu membawa agenda pembangkang terutama DAP,'' katanya.
Katanya lagi, sejarah Nusantara Melayu yang meliputi Filipina, Tanah Jawa sehingga ke selatan Thai melangkau ke Yunan membuktikan kewujudan bangsa Melayu sejak sekian lama.
''Bangsa Melayu mula tegak sebagai kerajaan berdaulat apabila terbentuknya kerajaan Langkasuka (Kedah) dan kesultanan Melayu Melaka di samping banyak lagi kerajaan Melayu di kepulauan Nusantara,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi, Lian Hoe tidak sepatutnya mempersoalkan status orang Melayu sebagai masyarakat peribumi negara ini kerana UMNO tidak pernah sesekali mengungkit asal usul mereka.
''Selama ini, UMNO menghormati prinsip setiakawan dalam BN, tetapi malangnya Gerakan sudah menampakkan sikap tidak jujur dalam beberapa perkara terutama selepas pilihan raya umum lalu,'' katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang turut mendesak Gerakan mengenakan tindakan terhadap Lian Hoe berkata, Ketua Wanita Gerakan itu sepatutnya tidak terikat dengan mentaliti penjajah yang tidak memahami tentang konsep wilayah kebudayaan Melayu di kepulauan Nusantara ketika membuat kenyataan.
Katanya, sekiranya sesuatu kaum asal yang berada di dalam lingkungan wilayah kepulauan Nusantara berhijrah ke tempat lain yang masih berada di dalam kepulauan itu, maka ia bukanlah pendatang.
''Tetapi, apabila orang Cina dari wilayah kebudayaan China datang ke kepulauan Nusantara dan menetap di situ, maka mereka adalah pendatang pada ketika itu,'' katanya.
Mohd. Puad berkata, orang Melayu sudah berada dalam wilayah kepulauan Nusantara sejak sekian lama dan ia termasuklah orang asli yang juga berasal dalam rumpun Nusantara itu.
''Jadi, sekiranya Lian Hoe tidak faham akan fakta sejarah, tidak perlu membuat hujah sebegitu yang mirip seperti Lee Kuan Yew (bekas Perdana Menteri Singapura),'' katanya.
Mohd. Puad berkata, kenyataan Lian Hoe itu dilihat berbahaya kepada BN dan juga perpaduan masyarakat di negara ini.
''Malah ia lebih berbahaya daripada kenyataan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bendera, Datuk Ismail Ibrahim sebelum ini,'' katanya.
Justeru, katanya lagi, Lian Hoe sepatutnya dikenakan tindakan sekurang-kurang amaran keras mengenai perbuatannya mengeluarkan kenyataan tersebut.
''Jika UMNO boleh kenakan tindakan terhadap ahlinya yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman, kenapa Gerakan tidak boleh buat perkara sama terhadap ahlinya yang berkata-kata demikian,'' katanya.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin pula berpendapat, Lian Hoe sepatutnya berhati-hati dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kaum lain di negara ini.
''Lian Hoe jangan mencari populariti dengan cara ini sebab ia sepatutnya disedari bahawa kenyataan seperti itu akan menyentuh sensitiviti kaum.
''Dalam kita hendak mencapai kesepakatan yang kukuh dalam BN, beliau tidak boleh berbuat begini,'' katanya.
Shahaniza berkata, sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah parti komponen BN, Lian Hoe sepatutnya mengetahui bahawa kenyataan seperti itu berupaya menjejaskan perpaduan dalam BN. Utusan
No comments:
Post a Comment