16 October 2008

SEPANG CALON MUHAMMAD TIMBALAN PRESIDEN


SEPANG 15 Okt. - UMNO Bahagian Sepang sebulat suara mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac depan.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, keputusan tersebut hasil muafakat empat peringkat iaitu bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Kita bekerja secara berpasukan dan kita hendak terjemahkan keputusan Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam mesyuarat yang diputuskan pagi tadi.

"Yang penting kita hendak tunjukkan kekuatan UMNO Selangor yang mahukan satu suara untuk membolehkan kita bangkit kembali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang di sini malam ini.

Katanya, beliau juga sanggup melepaskan jawatan yang disandang sekarang jika Barisan Nasional (BN) gagal merampas semula Selangor daripada Pakatan Pembangkang pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya sendiri sanggup letak jawatan jika BN tidak mampu kembali berkuasa di Selangor," katanya.

Sehubungan itu beliau dan seluruh UMNO di Selangor akan menggembeling tenaga untuk mencapai hasrat itu.

UMNO Sepang merupakan satu-satunya bahagian yang bersidang hari ini.

Utusan

No comments: