29 February 2008

AIBKAN ORANG DEMI POLITIK

Utusan Online

PENDANG 29 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbuatan mengaibkan orang tidak boleh diterima tetapi para pemimpin Pas menghalalkannya demi kepentingan politik mereka.

‘‘Ia bukan sesuatu yang boleh diterima. Mengaibkan orang tak patut dilakukan tapi maknanya dari segi politik, Pas menghalalkan segala-galanya,” kata Najib kepada pemberita selepas berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan ‘fatwa’ terbarunya dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan membenarkan semua calon parti itu yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Sementara itu, Najib memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM1.3 juta untuk membina rumah-rumah kedai di bawah program Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Felda Sungai Tiang bagi memberi kemudahan perniagaan kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Projek yang dinamakan Kedai Rakyat itu mengandungi sebuah bangunan dua tingkat dengan 12 buah kedai.

Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membina sebuah dewan serbaguna di kawasan Felda tersebut dan menyediakan sebuah kereta jenazah bernilai RM90,000.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Najib berkata, hasrat untuk melihat masyarakat Felda mempunyai taraf hidup yang tinggi bukan lagi impian kosong.

‘‘Ia adalah realiti. Peneroka Felda kini mempunyai pendapatan hingga RM4,000 sebulan, rumah banglo, jalan tar dan memiliki kereta. Ini semua kejayaan Felda,” kata beliau





A

No comments: