KUANTAN 26 Feb. – Langsung tidak menjamah makanan dan cuma minum air sungai serta setiap malam kesejukan tidur di celah batu adalah antara pengalaman perit Nur Umaisarah Sameaun, yang hilang selama 19 hari di Gunung Tahan.
Kesengsaraan menahan lapar dan cuma meneguk air dari Sungai Putih sejak hilang dari kumpulan rakannya pada pagi 7 Februari lalu, tidak membuatkan gadis berusia 21 tahun itu berputus asa untuk terus bertahan.
Nur Umaisarah mengatasinya dengan cara setiap kali tiba waktu makan tengah hari atau malam, dia memejamkan mata dan membayangkan dirinya sedang menikmati hidangan yang lazat.
Tidurnya pula tanpa berselimut di atas batu, itu pun di tepi tebing sungai tempat dia berehat.
Insiden terjatuh dan hampir lemas di dalam sungai pada hari ke-10 tersesat sebelum dia berpaut pada batu besar adalah pengalaman paling mencemaskan bagi Nur Umaisarah.
Ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini, Nur Umaisarah memberitahu, dia bersyukur kerana sepanjang tersesat tidak terserempak binatang buas seperti harimau walaupun di Taman Negara Kuala Tahan terdapat banyak haiwan liar dan berbahaya.
Menurutnya, selepas terpisah dengan rakan-rakannya, rutin hariannya ialah menyusuri sungai yang ditemuinya dengan harapan dapat mencari jalan keluar.
“Pada hari pertama tersesat saya terus cari sungai untuk jadi panduan cari jalan keluar dan menemuinya beberapa jam kemudian dan terus menyusurinya.
“Malangnya ketika hari pertama lagi saya terlanggar batu menyebabkan kaki luka dan terpaksa berehat empat hari di tepi sungai,” katanya.
Nur Umaisarah, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau hilang 7 Februari lalu ketika menuruni Gunung Tahan bersama 35 rakannya yang mengikuti ekspedisi Komander Kesatria anjuran universiti itu.
Dia ditemui dalam keadaan sihat tetapi lemah dengan kesan luka pada tubuhnya oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di kuala Sungai Putih, Jerantut pukul 6.30 petang semalam.
Lokasi itu kira-kira 30 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
Ditanya mengenai pengalamannya terjatuh sungai, Nur Umaisarah menceritakan:
“Semasa berjalan kaki dalam keadaan kepenatan, saya ternampak air terjun, jadi saya teruskan perjalanan melalui jalan hutan tanpa saya sedar rupa-rupanya saya betul-betul di tebing sungai.
“Saya tergelincir lalu terjatuh ke sungai, ketika itu saya fikir akan lemas tetapi selepas timbul semula saya berpaut pada sebuah batu besar.
“Kejadian itu menyebabkan kasut, kain tudung, cermin mata, beg sandang berisi pakaian dan keperluan lain saya dihanyutkan air. Saya tak mampu cari sebab letih, kaki juga cedera.”
Ekoran kejadian itu, hati kecil Nur Umaisarah yakin pasti menemui jalan keluar.
“Apabila terselamat selepas jatuh sungai, saya tahu Tuhan masih sayangkan saya, belum masanya untuk ajal saya tiba,” katanya.
Ketika berehat di tepi sungai berkenaan, dia ada mendengar seperti bunyi helikopter tetapi suara itu ditenggelami bunyi deruan air sungai yang kuat.
Menceritakan saat-saat terpisah dengan rakan-rakan, Nur Umaisarah berkata, kejadian berlaku di Kem Botak ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan dua hari selepas mendaki pada 5 Februari lalu.
“Saya berkemas awal berbanding kawan lain, saya beritahu kepada seorang rakan yang saya hendak lihat-lihat pemandangan.
“Saya tak sedar rupa-rupanya telah jauh berjalan, saya cuma tahu tersesat setelah saya gagal jumpa jalan pulang ke Kem Botak tempat mereka berkumpul,” tambahnya.
Sementara itu, ditanya mengenai rahsia kekuatannya bertahan tanpa makanan sepanjang berada di dalam hutan, Nur Umaisaran memberitahu:
“Walaupun saya terlalu lapar dan berlaku beberapa insiden menyebabkan saya cedera tetapi saya tidak pernah panik, mungkin itulah yang memberi kekuatan untuk saya terus bertahan.”
No comments:
Post a Comment