BESUT 27 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengeluarkan ‘fatwa’ terbarunya sempena Pilihan Raya Umum Ke-12 dengan membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.
Beliau berkata, Islam membenarkan tindakan tersebut kerana urusan memilih pemimpin merupakan satu perkara yang amat besar selain menepati sistem demokrasi moden.
Menurut Abdul Hadi, ia bertujuan untuk memastikan semua bakal wakil rakyat bebas daripada segala anasir yang boleh menjejaskan kredibiliti serta kewibawaan sebagai pemimpin.
Beliau menyamakan tindakan tersebut dengan sebuah hadis Rasulullah S.A.W berhubung soal mencari jodoh yang membenarkan keburukan seseorang itu didedahkan bagi mengelak berlakunya penganiayaan kepada pasangan.
‘‘Itu soal meminang tetapi yang kita bincangkan ini adalah soal memilih pemimpin. Urusan memilih pemimpin adalah lebih besar daripada meminang.
‘‘Oleh itu tidak salah mendedahkan keburukan-keburukan yang pernah mereka lakukan sebelum ini,” katanya ketika memberi ceramah umum di Kuala Besut dekat sini malam tadi.
Justeru Abdul Hadi berkata, ketika dalam tempoh berkempen, semua parti politik boleh berhujah dan boleh tuduh-menuduh antara satu sama lain.
‘‘Yang dituduh kena jawab, kalau tidak lepas jawab, rakyat akan hukum kerana rakyat dengar apa yang mereka katakan. Ini dinamakan demokrasi.
‘‘Sesetengah ustaz kata tidak boleh mengumpat, dia sebenarnya ‘dok tahu kale’ (tidak berilmu). Ulama-ulama kita telah mengarang satu kitab yang membenarkan kelemahan, kerosakan dan kejahatan seseorang itu didedahkan,” ujarnya.
Menurut Abdul Hadi, individu yang hendak menjadi ketua serta orang penting dalam negara boleh didedahkan rahsia-rahsianya supaya kerajaan yang diperintah menjadi bersih.
Beliau turut menjelaskan negara berkebajikan yang terdapat di dalam manifesto pilihan raya Pas antaranya menurunkan harga minyak, memperkenalkan sistem pendidikan percuma dan kesihatan percuma.
‘‘Jika Pas dan rakan-rakan pembangkang diberi kepercayaan memerintah negara dan negeri ini, kita akan melaksanakan konsep negara berkebajikan seperti yang terdapat dalam manifesto parti kita. Ini janji kami,” tegas beliau.
Beliau juga menyelar tindakan kerajaan Terengganu membina Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man yang didakwanya satu projek yang sia-sia.
Menurut beliau, masjid itu bukan dibina untuk kemudahan bersembahyang, sebaliknya hanya untuk menunjuk-nunjuk.
‘‘Di pulau itu tidak ada orang dan tidak ada penduduk kampung. Ia hanya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada pelancong.
‘‘Masjid seperti ini diharamkan oleh Allah kerana ia dikategorikan sebagai masjid dirar,” katanya.
No comments:
Post a Comment