16 February 2008

JANGAN LUPA KUASA POLITIK MELAYU

PERSOALAN utama peminat politik tanah air telah pun terjawab. Soal siapa calon yang bertanding kini menghangatkan suasana, baik di warung kopi sehinggalah ke lobi hotel mewah.

Analisis prapilihan raya pada tahun ini amat menarik sekali. Apakah akan ada vote swing di saat-saat akhir? Apakah akan ada undi protes akibat tidak puas hati dengan calon parti?

Apakah akan ada sentimen perkauman melampau yang boleh menyebabkan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sering bergantung kepada undi kaum lain akan hilang langsung wakil di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri?

Hakikatnya sudah ada sindrom yang terlupa bahawa kuasa politik negara masih dan tetap kekal di tangan orang Melayu.

Cuma bezanya kali ini ialah sudah ada ‘suara-suara’ halus yang cuba memperlekeh dan melupakan kuasa undi orang Melayu.

Baik pembangkang mahupun parti kerajaan, mereka tahu undi orang Melayu amat penting dalam penerusan karier dan matlamat politik mereka.

Undi orang Melayu tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja. Lim Kit Siang tetap mahukan undi orang Melayu bagi menjamin kemenangan kukuh sejajar dengan jawatan Pengerusi DAP yang disandangnya.

Datuk Seri Samy Vellu pasti menagih undi orang Melayu di Sungai Siput untuk menang. Begitu juga Datuk Seri Ong Ka Ting, pasti mahukan sokongan kuat orang Melayu sebagai bukti beliau pemimpin kanan BN.

Apakah corak pengundian pada tahun ini dalam merencanakan keputusan pilihan raya umum kali ke-12 ini? Mungkinkah keputusan tahun ini lebih mirip kepada pilihan raya umum 1999?

Ramai pengundi Melayu berpindah kepada Pas dan Keadilan. BN diselamatkan oleh pengundi Cina dan India yang mengakibatkan sokongan kepada DAP amat merosot.

Atau keputusan kali ini lebih cenderung kepada pilihan raya 2004 yang menyaksikan BN menang besar dengan memenangi 199 kerusi berbanding 20 kerusi oleh pembangkang.

Peribadi Perdana Menteri dengan lebih terarah kepada kerajaan bersih dan kerajaan terbuka telah dapat menakluk pengundi Melayu yang menyebabkan Pas dan PKR kalah teruk.

Tetapi perlu diingat bahawa undi Cina dan India ketika itu telah balik semula kepada DAP.

Akhirnya tibalah tahun 2008 yang sekali lagi menyaksikan arus dan corak pengundian yang bakal dilaksanakan oleh pengundi.

Realitinya semua kaum ada masalah menjelang pilihan raya umum kali ini.

Orang Melayu dengan masalah ekonomi cukup makan mereka, kaum Cina dengan arus perniagaan yang tidak menentu dan India pula dengan dakwaan mereka dipinggirkan.

Tidak seperti pada tahun 1999, yang ketika itu hanya orang Melayu yang tersentuh emosinya, pada kali ini boleh dikatakan semua kaum mempunyai isu dan ketidakpuasan yang tersendiri.

Majoriti pengundi, sama ada ahli parti komponen BN atau rakyat yang taat setia kepada negara tetap akan mengundi BN.

Walaupun ada pendapat pemimpin BN yang menyatakan kebimbangan akan ada kemerosotan undi daripada bukan Melayu ekoran beberapa isu tertentu termasuk Hindraf, hakikat di barisan akar umbi adalah sebaliknya.

Seharusnya BN perlu bimbang terhadap pengundi Melayu yang seakan-akan merajuk ekoran daripada suasana politik terkini.

Apakah mereka lupa bahawa kuasa politik masih terletak di tangan orang Melayu?

Para pemimpin BN terutamanya daripada UMNO harus turun menambat hati golongan akar umbi yang semakin resah terhadap beberapa tuntutan yang dianggap sangat melampau dari parti komponen bukan Melayu.

Inilah yang patut disasarkan oleh BN dalam tempoh berkempen pilihan raya umum. Kita mahukan semua komponen BN turun padang mengubat luka dan kecewa orang Melayu.

Mereka wajib mengakui hakikat undi orang Melayu tersangat penting sebagai penerus karier politik mereka.

Tanpa undi Melayu, akan hancur berderai karier politik seseorang pemimpin, malah sebuah parti.

Dalam berusaha untuk mendapatkan undi bukan Melayu, jangan sesekali lupa bahawa undi Melayu amat besar kuasa dan pengaruhnya.

Jangan pula menyukarkan pilihan raya kali ini yang akhirnya boleh menyebabkan kepastian dan keyakinan yang diinginkan - berubah dalam sekelip mata. Realitinya orang Melayu masih memegang tampuk kuasa politik.

– SHAIFUL BAHRI SAIDIN,

Sekinchan, Selangor.

No comments: